Header Ads

Suami kesal curang dengan rakan sekerja

Related image

SETIAP pasangan yang berumah tangga pasti mahukan sebuah perkahwinan yang bahagia, namun bukan semua yang diimpikan akan menjadi kenyataan.

Biarpun begitu, rumah tangga pasangan Halim (bukan nama sebenar), 30, dan isterinya, Salmah (nama samaran) yang sebaya de­ngannya tidak terlepas daripada dilanda badai

Memulakan bicara, Halim memberitahu, dia tidak berniat untuk membuka pekung di dada tetapi sebaliknya sekadar mahu kisahnya menjadi teladan kepada semua lelaki bergelar suami.
“Saya mengenali isteri ketika kami sama-sama menuntut di sebuah universiti di ibu negara. Saya meminatinya sejak kami berada di tahun pertama pengajian.

“Namun, saya tidak berani meluahkan perasaan hati ketika itu sehinggalah pada hari konvokesyen barulah saya meluahkan perasaan yang terpendam dan tanpa disangka dia juga mempunyai perasaan yang sama,” katanya.

Cerita Halim lagi, setelah menjalin hubungan cinta selama setahun, mereka akhirnya mendirikan rumah tangga tanpa sebarang hala­ngan.

Tambahnya, usia perkahwinan mereka kini telah mencecah enam tahun, namun mereka belum mempunyai rezeki untuk menimang cahaya mata.

Kurang bernafsu
Menurut Halim, biar pun begitu, Salmah seorang isteri yang baik apabila segala keperluan makan minum serta pakaiannya diuruskan dengan sempurna.

Malah, jelas Halim, Salmah juga pandai menghias rumah sehingga rakan-rakannya yang berkunjung ke rumah akan memuji kecantikan kediaman berkenaan.

“Walaupun begitu, dia mempunyai satu kekurangan apabila kurang pandai dalam melayan nafsu saya semasa melakukan hubungan ke­lamin.

“Dia agak lurus dalam hal-hal sebegini menyebabkan saya kurang bernafsu dan cepat hilang mood ketika bersama,” katanya.

Halim menambah, disebabkan itu dia hanya bersama isterinya sekali atau dua kali dalam sebulan.
“Itu pun bukan kerana nafsu sebaliknya kerana tanggungjawab menunaikan nafkah dan saya se­perti memaksa diri untuk bersama dengan isteri.

“Isteri bagaimanapun tidak pernah merungut walaupun saya jarang bersamanya,” kata Halim.
Jelasnya lagi, pada masa yang sama, dia tanpa disedari mula rapat dengan Hana (bukan nama sebenar), seorang wanita berstatus janda yang merupakan rakan seker­janya.

“Saya sering meluahkan kepada Hana mengenai perasaan bosan saya setiap kali bersama isteri dan Hana pula tanpa segan silu memberitahu saya mengenai cara-cara menaikkan nafsu wanita ketika bersama.

“Bagaimanapun, pada satu hari, saya dan Hana terlanjur melakukan hubungan seks di pejabat selepas kami gagal mengawal nafsu masing-masing,” katanya.

Tambah Halim, sejak melakukan perkara terkutuk itu, dia dan Hana beberapa kali lagi terlanjur dan mereka melakukan hubungan seks di pejabat selepas rakan-rakan sepejabat yang lain pulang ke rumah masing-masing.

“Saya berasa amat ghairah ketika bersama Hana dan perasaan ini tidak pernah saya kecapi ketika bersama isteri sehinggakan saya lupa perihal dosa dan kebaikan isteri selama ini,” katanya.

Menurut Halim, kecurangannya bagaimanapun dapat dihidu oleh isterinya apabila dia tertinggal te­lefon bimbit ketika keluar bekerja.

“Sebaik pulang ke rumah, saya lihat isteri sedang duduk di atas sofa sambil menonton televisyen.

“Melihat wajah isteri yang tenang, saya pada mulanya me­nyangka dia tidak membuka telefon bimbit dan membaca WhatsApp saya dengan Hana.

“Namun, sebaik saya duduk di atas sofa, Salmah dengan suara perlahan bertanyakan siapakah Hana dan sejauh manakah hubu­ngan saya dengan wanita itu,” katanya.

Tergamam

Cerita Halim, dia tergamam sebaik sahaja mendengar soalan daripada isteri­nya itu dan mula menyedari Salmah telah membaca WhatsApp pada telefon bimbitnya.

Tambahnya, dia tidak ingin berselindung lagi dan memberitahu perkara sebenar kepada Salmah serta perasaan bosannya setiap kali mereka bersama.

“Saya mulanya sangka Salmah akan mengamuk dan memarahi saya sebaik mendengar perkara ini, namun sebaliknya dia meminta maaf kepada saya ke atas kekura­ngan dirinya.

“Melihat Salmah meminta maaf dan bukan saya yang meminta maaf terlebih dulu, saya semakin menyesali perbuatan terkutuk yang dilakukan bersama Hana,” katanya.

Jelas Halim, dia kemudian turut meminta maaf pada Salmah dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan terkutuk itu lagi.

“Saya bersyukur apabila isteri sudi memaafkan kesilapan saya dan hubungan kami tidak terjejas.

“Saya terlupa bahawa tiada manusia yang dilahirkan sempurna dan tidak sepatutnya menjadikan kekurangan isteri sebagai alasan untuk berlaku curang,” katanya menutup bicara.

Sumber: Kosmo online
Dikuasakan oleh Blogger.