Header Ads

Ronaldinho minat beraksi di Malaysia


KUALA LUMPUR: Bekas pemain terbaik dunia dari Brazil, Ronaldinho mengakui berminat untuk beraksi dengan pasukan Liga Malaysia (Liga-M) tanpa sebarang bayaran.

Bagaimanapun dia yang sudah mengumumkan persaraan pada Januari lalu menyatakan kekangan masa kerana sibuk menguruskan akademi bola sepak dan karier baru sebagai pemuzik mendorongnya melupakan hasrat kembali beraksi.

"Ia bukan gurauan (bermain di Malaysia). Saya suka bermain bola sepak di sini. Saya suka bermain di tempat di mana orang amat meminati bola sepak dan mereka yang menerima saya dengan baik.

"Saya berminat untuk bermain dengan kelab Malaysia, mungkin saya akan bermain secara percuma," katanya ketika ditemui pada majlis Jelajah Trofi Liga Juara-Juara di sebuah pusat beli belah di Bukit Bintang, di sini, hari ini.

Kehadiran Ronaldinho, 38, di ibu negara bersama dengan trofi Liga Juara-Juara mendapat sambutan meriah lebih 300 peminat yang tidak mahu melepaskan peluang bertentang mata dengan bekas pemain Barcelona, AC Milan dan Paris Saint-Germain itu.

Sepanjang karier, Ronaldinho dinobatkan Pemain Terbaik Dunia 2004 dan 2005 selain pernah memenangi Liga Juara-Juara dan La Liga bersama Barcelona dan membantu Brazil merangkul gelaran Piala Dunia 2002 dan Piala Konfederasi 2005.

Pada 2015, dia dikaitkan dengan pasukan Pahang namun ia hanya sekadar khabar angin.

Ketika ditanya pasukan pilihannya untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara musim ini, pemain kelahiran Porto Alegre itu percaya Barcelona yang diketuai pemain kegemarannya, Lionel Messi boleh melakukan sekali lagi.

"Saya tidak dapat memilih siapa yang akan bermain di final, kerana semua pasukan hebat dan mempunyai peluang yang sama, tapi saya percaya Barcelona ada peluang baik untuk ke final," katanya.

Sumber: Berita Harian online


Dikuasakan oleh Blogger.