Header Ads

62 penduduk dirawat akibat serangan ulat bulu

ulat bulu

SEREMBAN – Seramai 62 penduduk menerima rawatan di Klinik Kesihatan Mantin kerana mengalami kegatalan pada kulit selepas beberapa kawasan di sekitar Mantin, Nilai dekat sini diserang ulat bulu sejak beberapa hari lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Zainudin Mohd. Ali berkata, sehingga semalam, tiga lokasi yang terlibat dengan kejadian serangan ulat bulu iaitu pejabat Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Kampung Pantai, Sekolah Kebangsaan Pantai dan Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Seri Perkasa Mantin.

Bagaimanapun, ujarnya, pihak Pejabat Kesihatan Daerah Seremban telah mengambil langkah pencegahan dengan menyembur racun serangga pada lokasi terlibat.

“Seramai 62 orang telah diberikan rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Mantin kerana mendapat kegatalan pada kulit. Bagaimanapun, tiada kes dimasukkan ke hospital.

“Saya nasihatkan kepada sesiapa yang terkena ulat bulu ini dan mengalami alahan seperti kegatalan agar mendapatkan rawatan di klinik kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Mengulas mengenai kehadiran banyak serangga itu di Mantin, beliau berkata, kejadian ini boleh berlaku semasa musim pembiakan rama-rama tertentu di pokok berdaun.

“Ulat bulu ini jatuh ke tanah atau diterbangkan oleh angin ke kediaman penduduk yang berdekatan contohnya di kawasan perumahan atau sekolah,” jelasnya. - K! Online

Sumber: Kosmo online
Dikuasakan oleh Blogger.