Header Ads

Saya memang tak percaya sesebuah filem itu boleh diarahkan oleh dua individu, Syamsul Yusuf


TIDAK dinafikan, darah muda yang mengalir dalam diri Syafiq Yusof telah menghasilkan satu demi satu naskhah filem hebat di bawah produksi gergasi Skop Productions Sdn. Bhd..

Sehinggakan, ada yang melihat abangnya, Syamsul seakan-akan tercabar dalam persaingan menghasilkan filem apabila adiknya itu muncul cemerlang menerusi filem terbaru berjudul KL Special Force yang berjaya meraih sebanyak RM10 juta dalam tempoh 10 hari di pawagam.


Kebetulan, Syamsul juga sudah lama tidak mengarah dengan kali terakhir adalah menerusi filem Munafik pada tahun 2016. Langsung tidak terfikir mahu bersaing dengan Syafiq, Syamsul sebaliknya mengaku berbangga dengan pencapaian adiknya yang pada waktu ini 
dilihat semakin berani bereksperimen dalam dunia perfileman.

“Saya sentiasa meletakkan kepercayaan bahawa dia mampu menjadi seorang pengarah yang versatil dan tidak tertumpu cuma pada kemahirannya menghasilkan naskhah filem genre komedi.

“Dia memang selesa dengan genre komedi dengan kali terakhir menerusi filem Abang Long Fadhil.

“Bukan nak merendahkan semangatnya, tetapi saya mahu orang tahu bahawa dia juga mampu hasilkan filem lebih serius dan tidak cuma cerita ringan saja,” katanya.

Tidak menolak bahawa filem Kl Special Force menyerlahkan sisi kematangan Syafiq sebagai seorang pengarah, bukan sahaja Syamsul bahkan ramai dalam kalangan orang industri tahu masih ada lagi kebolehan Syafiq yang belum diterokai.

“Banyak lagi yang perlu diterokai oleh Syafiq dan tidak mustahil dia mampu menjadi lebih bagus daripada saya mahupun pengarah sedia ada.

“Tidak cuma dia, saya juga percaya elemen versatil juga perlu ada pada setiap pengarah di Malaysia,” katanya.

Menganggap dirinya juga masih banyak yang perlu diteroka dalam kedudukannya sebagai seorang pengarah selain pelakon, Syamsul mengaku kadangkala terbatas untuk berkarya semata-mata terpaksa mengikut kehendak dan selera penonton.

Menyedari pengkarya filem juga perlu menitikberatkan soal pulangan, Syamsul tidak menolak bahawa disebabkan hal itu, adakalanya dia berperang dengan jiwanya sendiri.

Siapa pegang kuasa veto?

Dalam pada itu, ditanya sama ada dia pernah memasang angan-angan untuk mengarah bersama dengan Syafiq untuk mana-mana karya filem, Syamsul tanpa berfikir panjang mengatakan tidak.

Tidak timbul isu sombong atau saling memperlekeh hasil kerja tangan siapa lebih bagus, tetapi kata suami kepada pelakon Puteri Sarah Liyana ini, dia cuma mahu mengelak wujudnya pertembungan idea.

“Saya memang tak percaya sesebuah filem itu boleh diarahkan oleh dua individu. Nama pun pengarah, mestilah ada seorang yang akan bersikap dominan atau memiliki kuasa veto.

“Kalau ditanya siapa antara kami yang bersikap dominan, saya akan cakap kami semua memiliki sikap itu ketika duduk di kerusi pengarah, termasuklah ayah saya, Datuk Yusof Haslam.

“Jadi untuk mengarah bersama, saya rasa tidak mungkin kerana jujurnya masing-masing ada buah fikiran sendiri termasuk dalam membuat sebarang keputusan untuk karya masing-masing,” katanya.

Mengulas andai kata ada pihak di luar sana yang mendakwa kesemua naskhah filem Skop Productions kelihatan seperti terlalu mencuba, Syamsul dalam nada yang sangat positif mengaku sememangnya itu objektif mereka.

“Terlalu mencuba? Bukankah dalam usaha memberikan yang terbaik tu kita perlu mencuba? Kalau tak mencuba mana nak tahu hasilnya bukan?

“Sebagai contoh untuk filem KL Special Force ini pun, memang kami mencuba kerana nak memberikan kepuasan buat penonton.

“Saya tak kisah pun kalau ada yang hadir dengan pandangan begitu kerana itu pendapat masing-masing. Cuma satu sajalah fakta yang orang tak boleh nak nafikan, usaha kami, itu yang jelasnya,”kata Syamsul.

Kredit : Utusan
Dikuasakan oleh Blogger.