Header Ads

Pelajar di Kabul mengambil peperiksaan sambil memangku anak.


KABUL: Seorang petani, Jahantab Ahmadi yang memangku bayinya sambil menduduki peperiksaan kemasukan ke universiti tidak menyangka gambarnya dirakam hingga menjadi tular.

Gambar yang dirakam seorang profesor di universiti swasta Nasir Khusraw di tengah Afghanistan itu menjadi tular, selepas ia mengejutkan negara yang majoriti wanitanya adalah buta huruf dan dilayan sebagai warga kelas kedua.

"Saya tidak mahu dihalang daripada meneruskan pelajaran. Saya mahu menjadi doktor, seorang yang dapat menyumbang kepada wanita di dalam komuniti dan juga masyarakat saya," kata Jahantab yang berasal dari sebuah kampung di wilayah Daikundi.

Jahantab, 25, ibu kepada tiga anak, lulus peperiksaan berkenaan selepas terpaksa berjalan kaki selama dua jam merentasi kawasan pergunungan, dan baki sembilan jam lagi menaiki pengangkutan awam untuk sampai ke ibu kota wilayah Nili.

"Saya bercita-cita untuk masuk ke universiti, tetapi akibat kemiskinan, saya tidak mampu untuk meneruskannya lebih awal," kata Jahantab yang menerima bantuan menerusi kempen GoFundMe, yang dilancarkan Persatuan Belia Afghanistan untuk membiayai yuran pengajiannya di universiti.

Setakat ini, GoFundMe berjaya mengutip sejumlah AS$14,000 (RM54,655).

Menurut laporan rasmi, kadar celik huruf di Afghanistan adalah antara yang paling rendah di dunia, iaitu hanya 36 peratus. - AFP

Sumber: BH Online
Dikuasakan oleh Blogger.