Header Ads

Anda boleh bantu anak suka membaca melalui 5 aktiviti setiap hari


Siapa kata dalam mengurus rumah, kita tak mampu nak mendidik agar anak suka membaca? Dengan 5 tips ini, anda boleh tarik minat anak membaca dengan kerja harian anda.

Memupuk dan mendidik anak suka membaca

Inilah dilema mak-mak, terpaksa membahagikan masa di antara mendidik anak dan menguruskan perihal rumah tangga. Salah satu perkara yang nampak senang tapi memerlukan perhatian ibu bapa sepenuhnya adalah proses memupuk anak suka membaca.

Sedangkan sebenarnya anda boleh membantu anak suka membaca dengan 5 aktiviti harian saja. Tak percaya dan tertanya-tanya bagaimana nak membuat anak suka membaca?

Mari kita lihat tip yang dikongsikan oleh Metro United Way;

1. Pupuk anak suka membaca dengan aktiviti di pasaraya

Jadikan waktu membeli barang dapur anda sebagai satu sesi pembelajaran yang menyeronokkan. Terdapat beberapa cara yang anda boleh lakukan di sini:


  • beri senarai barang atau sayuran yang anda hendak beli pada anak dan minta dia cari apa yang ada dalam senarai itu. Minta mereka tandakan mana yang sudah diambil. 
  • minta anak kirakan berapa barangan yang telah diambil dalam troli
  • minta anak membaca label makanan yang anda ambil


2. Ajar anak lihat papan tanda

Sepanjang berjalan bersama di dalam pasaraya, pasti terdapat banyak papan tanda yang menarik.

Ajak mereka baca dan eja papan tanda tersebut. Begitu juga semasa di dalam kereta, jadikan membaca papan tanda iklan di tepi jalan sesuatu yang menyeronokkan.

(Tetapi hati-hati dengan papan iklan yang tidak sopan atau berbahasa kasar).

3. Pupuk anak suka membaca dengan menu restoran

Galakkan mereka memilih menu mereka sendiri. Secara tidak langsung, mereka akan teruja untuk cuba membaca kerana ingin memilih apa yang mereka ingin pilih.

Banyak perkataan baru yang boleh mereka belajar di sini. Jadi berikan mereka sedikit masa untuk membaca menu di restoran dan biar mereka pilih apa makanan yang mereka mahu.



4. Ajar anak membaca dengan televisyen

Memang anda perlu menghadkan masa skrin anak. Tapi semasa anda membenarkan mereka menonton televisyen, gunakan kesempatan ini untuk menggalakkan anak suka membaca.

Antara apa yang anda boleh lakukan dengan televisyen untuk mengajar anak membaca adalah dengan:
  • pasangkan sari kata supaya mereka boleh baca
  • minta mereka baca senarai rancangan televisyen dalam surat khabar supaya mereka tahu rancangan apa yang mereka ingin tonton kemudian
  • semasa anda menonton berita atau rancangan sukan, biar mereka membaca keputusan sukan atau membaca tajuk berita 


5. Memasak

Ajak mereka membantu anda memasak. Tuliskan resipi ringkas menu harian yang anda ingin masak, dan biarkan anak anda bantu membacakan resipi itu.

Begitu juga dengan sesi membuat kuih, kek atau biskut, biarkan mereka teruja untuk membantu anda dengan membacakan resipi.

Bagaimana cara anda? Kongsikan dengan kami agar lebih ramai boleh memanfaatkan cara anda juga.
Dikuasakan oleh Blogger.