Header Ads

11 strategi bagi memanipulasi anak sebelum menculik mereka, kenali tanda ini dan ajar pada anak


Setiap tahun, beribu kanak-kanak di seluruh dunia hilang tanpa dapat dikesan. Penculik kanak-kanak sememangnya ada strategi sendiri untuk memanipulasi atau “rapat” dengan anak kecil sebelum menculik mereka.

Adalah amat penting untuk kita memerhatikan tingkah laku berikut pada orang dewasa yang mencurigakan bagi memastikan, bukan sahaja anak kita sendiri, malah semua kanak-kanak di sekeliling kita selamat.

Jadi, jom semak ia sekarang!

11 tanda untuk kenal jika seseorang itu penculik kanak-kanak

1. Penculik akan minta pertolongan dari kanak-kanak

Salah satu helah yang paling biasa digunakan oleh penculik kanak-kanak adalah mereka akan meminta pertolongan dari anak kecil.

Jika anda melihat situasi ini di hadapan mata, anda perlu lebih bersikap curiga pada lelaki/wanita berkenaan. Contohnya, jika dia meminta anak kecil membuka pintu kereta atau membawa sesuatu barang untuknya.

Kenapa? Kerana secara logiknya, seorang orang dewasa yang cukup matang tidak akan sekali-sekali meminta bantuan daripada kanak-kanak yang belum tahu apa-apa!

2. Anda lihat lelaki/wanita menarik-narik tangan anak kecil yang sedang menangis dan meronta

Jika seorang anak kecil sedang menangis dan meronta, kita mesti ingat itu si ibu atau ayah yang sedang menarik anaknya yang sedang tantrum.

Tapi, mari bersikap lebih ambil peduli. Jika tangisannya agak histerikal, anda masih boleh pergi ke arahnya untuk bertanya sama ada semuanya OK.

Bertanya juga pada anak kecil itu jika dia kenal lelaki atau wanita yang sedang menariknya itu.

Jika betullah itu seorang penculik, dia pasti akan berasa takut, melepaskan anak kecil itu dan berlari pergi. Ini kerana anda sudah pun mengecam wajahnya.

3. Lelaki yang berkeliaran di sekitar taman permainan

Jika anda berada di taman permainan dan perasan ada orang dewasa yang berkeliaran sambil matanya liar memandang ke arah kanak-kanak yang sedang bermain, anda perlu berwaspada.

Ambil gambarnya dan biarkan dia perasan tindakan anda itu. Jika benar dia seorang penculik, dia pasti terkejut dan beredar dari situ.

4. Memberi anak kecil yang tidak dikenali hadiah

Seorang penculik juga sering memberikan hadiah pada kanak-kanak yang tidak dikenalinya.

Beritahu pada anak anda, jika ada lelaki sebegini berjumpa dengannya dan memintanya pergi ke kereta untuk mengambil hadiah, minta anak anda beredar jauh dari lelaki tersebut.

Orang dewasa yang normal tidak akan meminta anak kecil yang tidak dikenali untuk pergi ke keretanya bagi mengambil hadiah!

5. Menawarkan diri untuk menjemput mereka ke sesuatu tempat

Dengan adanya media sosial, amat mudah untuk penculik mendapatkan maklumat keluarga kanak-kanak yang ingin diculiknya.

Mereka kemudian akan ke sekolah atau nurseri anaknya, memberikan maklumat ini kepada guru atau penjaga taska. Lalu, mereka dengan mudah dapat mengambil anak kecil itu dari sekolahnya tanpa pengetahuan kita.

Ajar perkara ini pada anak anda serta guru atau penjaga sekolah/nurseri/ taska anak anda: jangan sesekali membiarkan orang lain menjemput anak anda tanpa bertanya pada anda terlebih dahulu!

6. Mengumpan dengan menggunakan kanak-kanak lain

Penculik juga mungkin menggunakan bantuan seorang kanak-kanak lain untuk mendapatkan kepercayaan anak kecil yang ingin diculiknya.

Malah, mereka juga mungkin menggunakan wanita yang berwajah keibuan untuk melakukan penculikan.

Jadi, jika anda perasan ada seorang kanak-kanak atau wanita yang tidak dikenali membawa pergi anak kecil dari taman permainan, pastikan anda pergi ke arah mereka dan bertanya ke mana mereka mahu pergi atau sama ada anak kecil itu kenal orang yang membawanya itu.

7. Kereta berhenti di tepi jalan dan bertanya soalan pada kanak-kanak yang sedang berjalan kaki

Jika anda ternampak situasi ini di tepi jalan, anda PERLU berasa curiga. Zaman sekarang, jika kita tersesat jalan, kita biasanya akan menggunakan GPS atau bertanya arah pada orang dewasa.

Tiada orang dewasa yang normal akan bertanya panduan arah pada anak kecil yang sedang berjalan di tepi jalan!

8. Menjemput anak kecil menaiki motorbike mereka

Sudah ada beberapa kes di mana penculikan dilakukan oleh lelaki “cool” yang menaiki motorbike besar. Selalunya, yang menjadi mangsa penculikan adalah kanak-kanak lelaki.

Jika ada ternampak perkara ini dijalanan, mari jadi lebih berwaspada. Jarang sekali untuk seorang lelaki yang menaiki motorbike besar untuk mengajak anak kecil yang tidak dikenalinya di jalanan untuk menaiki motor mereka!

9. Seorang lelaki berpakaian uniform polis dan membawa kanak-kanak pergi ke tempat lain

Dengan berpakaian uniform polis, pasti tiada siapa yang akan bersikap curiga pada penculik, kan?

Tetapi, jika anda ternampak perkara ini di pasaraya, sekitar kawasan sekolah atau di taman permainan, anda perlu pergi ke arah polis yang sedang membawa kanak-kanak itu.

Tanyakan pada kanak-kanak itu sama ada dia kenal polis tersebut dan mintanya untuk menunjukkan kad ID polis. Ambil juga fotonya.

Jika dia seorang penculik, dia pasti akan berasa tidak senang hati dan berlalu pergi dari situ.

10. Anda terdengar anak kecil memanggil orang yang memegang tangannya sebagai “encik” atau “cik”

Lagi satu tanda untuk kenal penculik kanak-kanak adalah jika anda terserempak dengan seseorang yang sedang memegang tangan anak kecil yang terpinga-pinga.

Anda juga mendengar anak itu memanggilnya “encik” atau “cik”. Contohnya “Encik nak bawa saya ke mana?”

11. Perbezaan perwatakan atau rupa fizikal antara penculik dan kanak-kanak

Lagi satu tanda yang membantu anda kenal penculik kanak-kanak adalah perbezaan ketara pada baju yang dipakai antara anak kecil dan lelaki di sisinya.

Jika anda berasa ada yang tidak kena antara anak kecil dan lelaki disisinya, jangan berasa ragu-ragu untuk bertanya pada kanak-kanak itu sama ada dia kenal lelaki di sebelahnya itu.

Ibu ayah, mari ambil peduli dan pastikan keselamatan kanak-kanak di sekeliling kita terjamin
Dikuasakan oleh Blogger.