Header Ads

Pada 16 Sept 1963, Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia, Ini antara faktor - faktornya


Pada 16 Sept 1963, Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia. Faktor-faktor yang telah mendorong penyertaan kedua-dua negeri itu ke dalam Malaysia.

Tunku Abdul Rahman telah berucap di Singapura pada 27 Mei 1961 bahawa perlu diwujudkan satu persatuan ekonomi dan politik di antara Sabah, Sarawak , Brunei, Persekutuan Tanah Melayu (PTM) dan Singapura.

Beliau juga mencadangkan bahawa wilayah-wilayah berkenaan perlu bekerjasama bagi mempercepat perhubungan dalam berbagai-bagai bidang serta menyatakan bahawa Persekutuan Tanah Melayu sanggup mewujudkan satu gagasan politik yang baru di Asia Tenggara dengan mendapatkan kerjasama kerajaan British.

Di antara faktor utama yang mendorong Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia ialah dari segi pentadbiran, keselamatan ekonomi dan sosial.

Kesan dari ucapan beliau di Singapura itu telah mewujudkan reaksi positif dan negatif di Asia Tenggara termasuk di wilayah-wilayah yang terlibat.


Ancaman komunis di Sarawak pula semakin serius kerana terdapat kegiatan pengganas parti komunis Kalimantan Utara.

Oleh itu melalui gabungan politik dan ekonomi antara rakyat Sabah dan Sarawak akan dapat mencapai kemerdekaan melalui Malaysia dan seterusnya masa depan mereka akan lebih terjamin.

Adalah difikirkan juga dengan penubuhan Malaysia, Sabah dan Sarawak akan dapat mencapai kemerdekaan dengan lebih segera . Mengikut rancangan Tanah Melayu pada masa itu Malaysia hendaklah ditubuhkan dalam tempoh lebih kurang 2 tahun.

Sekiranya Sabah dan Sarawak cuba mencapai kemerdekaan itu sendiri ia mungkin tidak akan tercapai biarpun dalam tempoh 5 tahun. Jadi boleh dianggap bahawa rancangan Malaysia itu merupakan jalan pintas bagi Sabah dan Sarawak untuk mencapai kemerdekaan.

Selanjutnya gagasan Malaysia akan menjamin proses kemerdekaan yang lebih cepat bagi wilayah-wilayah British di Borneo. Jika tidak bergabung dalam Malaysia pihak British tidak mempunyai rancangan untuk memberi kemerdekaan kepada Sabah dan Sarawak.

Sekiranya kemerdekaan diberi , wilayah-wilayah tersebut mungkin menghadapi kesukaran kerana hasil ekonomi yang kurang memuaskan .

Dengan menyertai Malaysia, Sabah dan Sarawak akan dapat menyelesaikan beberapa masalah terutamanya masalah ekonomi. Sebagai contoh, tenaga pakar yang sama dapat dimanfaatkan dengan tujuan meningkatkan hasil pengeluaran kerana Sabah dan Sarawak mempunyai sumber-sumber ekonomi yang sama dengan Tanah Melayu seperti hasil pertanian , kayu balak dan galian.

Dengan itu projek-projek pembangunan dapat dipesatkan. Seterusnya kegiatan ekonomi di Sabah dan Sarawak serta Semenanjung akan berkembang di mana import dan eksport akan terus meningkat.

Dalam tahun 1960-an Persekutuan Tanah Melayu menghadapi ancaman pengganas komunis di mana Persekutuan Tanah Melayu yakin bahawa rakyat bumiputera Sabah , Sarawak serta Brunei tidak dapat hidup bersendirian.

Bagi memperkukuhkan pertahanan serantau lebih baik jika bersatu menghadapi ancaman-ancaman daripada kuasa luar. Melalui penyertaan dalam Malaysia, satu negara yang lebih kuat dan kukuh akan dapat diwujudkan penubuhan Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak ini akan dapat menyekat pengaruh kuasa-kuasa luar dan menjamin keselamatan serantau.

Tambahan pula rakyat Sabah dan Sarawak telah jauh ketinggalan daripada segi pembangunan kerana terbiar di bawah penjajahan British. Golongan Bumiputera di Sabah dan Sarawak telah tidak mendapat kedudukan yang istimewa dari kerajaan British.


Oleh yang demikian kaum-kaum pendatang dan orang-orang asing yang datang ke Sabah dan Sarawak yang lebih tinggi pencapaian pelajaran mereka, telah dapat membolot sebahagian besar daripada jawatan-jawatan penting di Sabah dan Sarawak.

Sungguhpun jawatan yang terkanan sekali di pegang oleh pegawai-pegawai British,tetapi selain daripada pegawai-pegawai , jawatan-jawatan yang agak kanan boleh dikatakan hampir semua dipegang oleh kaum-kaum pendatang.

Golongan Bumiputera sangat sedikit yang mempunyai pelajaran tinggi dan memegang jawatan-jawatan tersebut. Adalah difikirkan bahawa kalaulah Sabah dan Sarawak dimasukkan ke dalam Malaysia maka kemungkinan memberi layana istimewa kepada Bumiputera Sabah dan Sarawak adalah lebih besar di mana kedudukan istimewa sememangnya telahpun dilaksanakan di Persekutuan Tanah Melayu.

Selain daripada itu, kerjasama yang wujud antara wilayah-wilayah yang bergabung dapat mengurangkan ancaman komunis dalam negeri.

Tambahan pula, persekutuan Tanah Melayu mempunyai pengalaman dalam cara-cara menghadapi ancaman komunis yang boleh dipraktikkan di Sabah dan Sarawak bagi tujuan yang sama di bawah pemerintahan British juga memudahkan penyatuan Sabah dan Sarawak dengan Tanah Melayu.

Dari segi sosial pula, penduduk di Sabah dan Sarawak kebanyakkannya terdiri daripada golongan Bumiputera. Jika digabungkan maka kedudukan orang Melayu dan Bumiputera di dalam gabungan yang lebih lebih meluas lagi.Ini akan lebih menjaminkan masa depan orang-orang Melayu dan juga Bumiputera.

Dalam gabungan yang disertai oleh Sabah dan Sarawak, jumlah Bumiputera adalah melebihi daripada jumlah bukan Bumiputera.

Tambahan pula,rakyat Sabah dan Sarawak adalah daripada satu rumpun yang sama dengan orang-orang di Tanah Melayu.

Mereka bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan kebudayaan yang hampir sama dengan penduduk Tanah Melayu. Fenomena itu akan memudahkan lagi integrasi nasional bagi wilayah-wilayah yang bergabung membentuk Malaysia.

Setelah pelbagai perundingan dan proses penyatuan yang agak rumit akhirnya setelah diteliti faktor-faktor yang telah diterangkan di atas, maka Sabah dan Sarawak mengambil keputusan untuk menyertaia Malaysia.

Seterusnya pada 16 September, 1963 Malaysia ditubuhkan dengan dianggotai oleh Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan juga Sarawak.


Kesimpulannya, perbincangan dan proses perundingan ke arah penubuhan Malaysia ternyata merupakan suatu proses yang rumit dan kompleks. Hal ini timbul kerana masalah prasangka dan keutamaan politik di antara wilayah-wilayah di Borneo dan Persekutuan Tanah Melayu .

Terdapat tiga faktor utama yang telah mendorong penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam pembentukan Malaysia iaitu pentadbiran dan keselamatan, ekonomi dan juga sosial.
Dikuasakan oleh Blogger.