Header Ads

Hari raya selalunya disambut dengan meriah,10 perkara menarik tentang sambutan hari raya di Sarawak


1. Selama 7 Hari Kemeriahan Dirasa


Berhari Raya di Sarawak ini sebenarnya sangat meriah. Sambutan yang dirasakan berlanjutan dengan begitu meriah sehingga 7 hari.Walau pun sudah hampir seminggu Syawal masih ada tetamu yang berkunjung walaupun sudah malam.Tetamu dan tuan rumah sentiasa berpakaian baju Melayu lengkap bersamping dan berbaju kurung menyambut kehadiran tetamu.

2. Berlanggar Meja


Ini adalah satu keunikan yang terdapat terutamanya bagi masyarakat Melanau. Lebih-lebih lagi di daerah Igan, Oya dan Dalat.Berlanggar meja ialah satu cara meraikan tetamu di Hari Raya secara besar-besaran. Penduduk biasanya sudah bermesyuarat terlebih dahulu untuk menganjurkan acara ini.

Pada hari berlanggar meja ini diadakan penduduk kampung akan meletakkan meja dan disambung dengan meja jiran-jiran yang lain. Semua juadah akan diletakkan diatas meja dan berbeza mengikut meja yang mengambil bahagian.Ini bermakna hadirin boleh menziarah satu kampung dalam satu masa.

3. Kelupis


Jika di Semenanjung, ketupat lemang menjadi hidangan utama di Hari Raya. Di Sarawak kami sering menyediakan Kelupis sebagai juadah.Rasanya seakan ketupat pulut cuma ia lebih lembut dan berkanji serta lebih manis rasanya. Selalu dimakan dengan rendang, kari dan sekaya telur.

Hidangan ini memang hidangan asal masyarakat Borneo kerana selain orang Melayu, orang Iban turut memasak kelupis dan ketupat semasa hari gawai.

4. Kek Lapis dan Kek Hati Parek


Hari Raya semestinya perlukan warna-warna. Di Sarawak warna-warni Hari Raya ialah pada kek lapisnya. sepenuh-penuh meja akan tersusun indah kek lapis pelbagai rasa dan warna.Malah dalam banyak-banyak makanan di dunia kek lapis sarawak paling banyak nama.Anda boleh temui kek idola cheese, kek cadbury malah kek neelofa pun ada.

Kek Hati parek pula merupakan kek taraf klasik. Kek ini adalah kek tradisi yang berwarna coklat kehitaman ternyata amat sedap dan menjadi Kek Utama di meja hidangan.

5. Lemang Periuk kera


Biasanya mudah didapati dikalangan masyarakat Islam Bidayuh. Lemang yang dimasak dengan pulut merah mempunyai citarasa yang tersendiri.Makanan ini banyak dijual di Sungai Duyuh Serikin.

6. Air Soda lemoned dan Sundrop


Air ini amat mudah ditemui saat perayaan Hari Raya. Air soda atau lemenet didalam botol hitam ini biasanya dikilangkan di Sibu dan Kuching menjadi pilihan orang Melayu yang ingin mengimbau suasana klasik dalam sambutan hari raya.

Selain air Lemoned, Sundrop turut menjadi pilihan jika tetamu tidak mahu minum air bergas. Sundrop adalah air oren produk tempatan.

7. Sadak


Semasa takbir dibaca beramai-ramai sambil menanti kutbah, beberapa ahli masjid atau surau di kampung akan mengikat kain di pinggang dan berjalan di barisan saf jamaah. Maka jemaah akan memberi derma dengan memasukkan wang didalam ikatan kain itu.

Kelaziman ini digelar Sadak (Seperti nelayan menyadak bubuk). Ia adalah suasana biasa di kampung pesisir laut. Semasa menyadak wang derma mereka melaungkan kalimah…ya kareem….ya kareem…

8. Ziarah Pusara


Biasanya ziarah kubur di Sarawak dilakukan pada hariraya kedua. Sanak saudara membaca yassin, berdoa akan kesejahteraan orang-orang tersayang yang telah pergi.Namun yang menarik ialah kanak-kanak akan mendapat sedekah wang syiling di tanah kubur. Orang orang tua pula memberi kanak kanak yang berada di situ wang syiling dan gula gula.

9. Baju Melayu


Di Sarawak ada yang memakai baju Melayu hingga Hari Raya ke-7. Mereka akan memakai baju pelbagai warna dan sedondon mengikut tema masing-masing.Malah baju melayu tahun lepas akan dipakai kembali sebagai penaik seri.

Bukan sahaja dipakai orang Melayu malah sahabat Iban dan Bidayuh turut memakai baju Melayu atau baju kurung semasa menziarahi rumah kawan-kawan.

10. Bertuntong


Kalau di Semenanjung ramai yang memasang pelita di kampung. Tetapi penduduk di Sarawak akan memasang mandong atau bertuntong.

Sama konsepnya mengunakan pelita minyak. Cuma kalau bertuntong mereka akan memasangnya di pintu gerbang masuk ke kampung. Malah ada wakil rakyat yang berikan peruntukan pada kampung untuk membina gerbang dan dipertandingkan.

Dikuasakan oleh Blogger.