Header Ads

Adat majlis persandingan mahupun perkahwinan tradisional masyarakat Dusun Lotud, Sabah


Dalam artikel kali ini kita akan berkongsi maklumat tentang Adat Majlis Persandingan mahupun Perkahwinan tradisional masyarakat Dusun Lotud,dimana 'Adat' perkahwinan ini berbeza dengan perkahwinan tradisional suku kaum lain yang mengekalkan banyak pantang larang yang harus dipatuhi pasangan pengantin.

Sebelum majlis persandingan diadakan, pengantin lelaki akan berjalan kaki menuju ke rumah pengantin perempuan untuk menjemputnya bersama-sama berarak ke tempat persandingan.Sebagai merestui perkahwinan kedua-dua pengantin orang-orang tua diberi penghormatan untuk mencuci kaki pasangan pengantin sebelum diapit menuju ke laman pengantin dikenali "Libunan" dalam bahasa Dusun Lotud.

Sejurus pasangan pengantin mengambil tempat di laman pengantin yang dihiasi dengan kain-kain yang bercorak dan berwarna-warni, persembaham silat diadakan sebagai menyambut ketibaan pengantin dan tetamu. Persembahan silat juga diadakan dan hal ini ada persamaan dengan perkahwinan Melayu.

Apa yang membezakan Dusun Lotud adalah pengantin perempuan duduk bersimpuh sementara pengantin lelaki akan dijemput oleh keluarga kedua-due pihak pengantin untuk menikmati jamuan "Makan Beradab".

Yang uniknya, makan beradab suku kaum Dusun-Lotud ini TIDAK MEMBENARKAN pengantin lelaki menjamah makanan daging kecuali ikan dan sayur-sayuran sepanjang tempoh persandingan. Sementara pengantin perempuan pula hanya menunggu di laman pengantin sehingga pengantin lelaki dengan kedua-dua pihak selesai menjamu selera.

"Bahar" atau minuman keras yang diperbuat daripada nirah kelapa dan nasi yang dibungkus dengan daun keladi atau "Linopot Du Omon" merupakan antara hidangan istimewa dalam makan beradab kaum dusun lotud.

Sejurus selesai majlis makan beradab tersebut, "Upacara Moninjau" atau menyanyikan lagu-lagu berunsur nasihat sebagai tanda restu dan berkat kepada kedua-dua pengantin dalam menempuhi hidup berumahtangga.

Upacara ini, dilakukan kaum lelaki sahaja dan kebiasaannya diketuai oleh pemegang atau ketua adat dan ketua kampung sahaja.

Tarian 'Monigol' yang juga dikenali sebagai tarian helang dan tarian sumayan merupakan antara tarian tradisional suku kaum dusun lotud yang sering dipersembahkan dalam setiap majlis rasmi dan perkahwinan suku kaum itu.


Jika sekali pandang, pakaian perkahwinan tradisional suku kaum dusun lotud ini tidak banyak beza dengan pakaian tradisional kadazan dusun dari segi baju asas berwarna hitam. Bagaimanapun dari segi aksesori dan sulaman Linangkit yang ada pada pakaian Dusun Lotud memberikan banyak perbezaan dan keistimewaan tersendiri kepada pakaian tradisional ini.

Mungkin masih ramai yang tidak mengetahui bahawa suku kaum Dusun-Lotud ini mempunyai sesuatu warisan yang tidak ada pada kaum lain iaitu 'Linangkit' iaitu seni sulaman pakaian tradisional masyarakat tersebut yang sangat cantik dan halus.

Bagi pakaian pengantin perempuan, "Karo Lawit" atau kalung marupakan antara aksesori yang paling berharga dan turut dipakai pengantin lelaki. Ini kerana ada diantara kalung tersebut diwarisi turun-temurun sejak ratusan tahun lalu.

Sementara gaun yang dipenuhi sulaman di panggil Linangkit, Sanggul Kepala di panggil "Sigar", aksesori di lengan pula dipanggil "Simpai" dan di kaki pula dipanggil "Lansung".

Keris atau "Tatarapan dan Songkok atau "Sundi" pula merupakan antara aksesori yang dipakai pengantin lelaki.

Sesungguhnya, keunikan dan kehalusan seni budaya pelbagai suku kaum di Sabah menyimpan seribu satu budaya yang harus di lestarikan agar ia tak lekang di telan peredaran zaman.

Bersama memartabatkan Budaya serta tradisi Bangsa Borneo

Kredit : FB Arkib Negeri Sabah
Dikuasakan oleh Blogger.