Header Ads

"Walaupun buta, saya berjaya menerima Ijazah Sarjana Muda atas berkat dorongan dari ibu"


Penderitaan pengawal keselamatan, Kartina Mohd Saad, 47, selama 10 tahun selepas anak sulungnya disahkan buta seumur hidup ketika berusia tujuh tahun berakhir dengan berita gembira apabila anaknya antara 2,427 graduan Universiti Malaya (UM) yang menerima Ijazah Sarjana Muda, semalam.

Mohammad Yusri Aziz, 24, yang juga orang kurang upaya (OKU cacat penglihatan) menerima sarjana muda sosiobudaya Melayu dari Akademi Pengajian Melayu UM dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.25.

Dia ketika ditemui sambil ditemani ibunya berkata, kejayaan itu berkat dorongan dan semangat ibu yang tidak pernah putus-putus sepanjang pengajian tiga tahunnya.



“Ibu adalah pembakar semangat. Tanpa dia, saya tidak tahu apa akan terjadi dengan kehidupan saya. Cukuplah ibu menderita pada 10 tahun pertama selepas saya buta kerana kecuaian orang. Ditambah pula, saya menjalani tujuh pembedahan mata dengan kos yang sangat tinggi.

“Sekarang sudah ada sinar dalam kehidupan dengan genggaman ijazah dan ini adalah pencapaian terbaik saya walaupun sederhana,” katanya yang ditemui selepas majlis istiadat konvokesyen UM 2017, semalam.

Majlis konvokesyen yang bermula 21 Oktober hingga semalam menyaksikan 4,867 graduan menerima ijazah masing-masing yang turut membabitkan 645 penerima Ijazah Kedoktoran dan 1,795 Ijazah Sarjana dengan sidang terakhir dipengerusikan Pro-Canselor, Tan Sri Diraja Ramli Ngah Talib.

Sumber: Harian Metro
Dikuasakan oleh Blogger.