Header Ads

Ramai yang teruja dengan Jalan Pintas Rawang kerana bakal memberi pemandangan yang cantik


Mereka yang duduk di Selangor dan kawasan sekitarnya, pastinya sudah tahu Rawang mempunyai keadaan trafik yang agak sesak, dan sekiranya boleh, ia adalah kawasan yang perlu dielak terutamanya di kawasan bandar Rawang itu sendiri.

Walaupun terdapat Lebuh Raya Kuala Lumpur Kuala Selangor dan Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran dengannya, jika anda datang dari arah Serendah, untuk ke Kuala Lumpur dan sebaliknya, anda tetap perlu melalui pusat bandar Rawang. Memikirkan keadaan yang semakin teruk, Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) telah melaksanakan projek Jalan Pintas Rawang.

Selepas beberapa tahun, jalan pintas ini kelihatan seperti sudah hampir lengkap, tetapi ia masih belum dibuka secara rasmi kepada orang awam. Ramai yang teruja dengan jalan ini kerana ia dikatakan memberi pemandangan yang cantik dengan ada bahagian jejambat yang tinggi.

Jalan Pintas Rawang bermula dari Persimpangan Sg Choh, iaitu susur FT01 dari Ipoh, dan tiba di bahagian Taman Warisan Negeri Selangor, ia menjadi laluan yang ditinggikan bagi memelihara pokok di situ. Mungkin ramai yang tidak tahu, ada pokok di situ yang dipanggil Giam Kanching, adalah satu spesies unik yang hanya boleh dijumpai di situ. Di kawasan lain di dunia ini, tiada pokok tersebut. Laluan paling tinggi dalam jalan ini adalah mencecah sehingga 60 meter dari tanah.

Menurut JKR, penggunaan Jalan Pintas Rawang ini boleh memendekkan perjalanan ke Kuala Lumpur daripada 2 jam kepada hanya 30 minit. Selain membantu kelancaran trafik, ia juga dikatakan dapat meningkatkan lagi pembangunan di kawasan Serendah, Batang Kali dan Tanjung Malim.

Saksikan dalam video drone di atas, yang dirakam oleh Fahmie Abu Bakar 3 dan 4 Oktober lalu, menunjukkan keadaan terkini Jalan Pintas Rawang tersebut, manakala di bawah pula adalah video oleh JKR sendiri.


Dikuasakan oleh Blogger.