Header Ads

Barang bertimbun tetapi sayang nak buang sebab rasa berguna? Ini sebenarnya punca anda begini


Pernah tak rasa sayang nak buang sesuatu sebab merasakan sesuatu itu berharga dan berguna? Saya pun sering mengalaminya.

Pernah dengar hoarding disorder? 

Hoarding disorder atau masalah menimbun barang ialah suatu kesukaran untuk membuang atau berpisah dengan sesuatu kerana merasakan ada keperluan untuk menyimpan barang tersebut.

Orang yang mengalami masalah ini akan berdepan dengan masalah untuk melenyapkan barang-barang tersebut. Akhirnya membawa kepada pengumpulan barang-barang secara berlebihan, tanpa mengira nilai di sebaliknya.

Masalah penimbunan yang berlaku sering menyebabkan rumah atau bilik dipenuhi dengan pelbagai barang, sehinggakan laluan menjadi sempit. Ruang kabinet dapur, sinki, meja, tangga, dan semua ruang dan permukaan selalunya dipenuhi dengan barang.



Apabila tiada lagi ruang di dalam bilik atau rumah, keadaan tersebut akan dibawa ke garaj, halaman, atau ruang menyimpan yang lain.

Masalah yang dialami ini boleh bertukar daripada biasa menjadi teruk. Dalam sesetengah kes, penimbunan mungkin tidak memberikan kesan dalam kehidupannya, tetapi dalam kes yang lain, ia memberikan kesan yang serius sehinggakan mengganggu urusan harian.

Orang yang mengalami masalah ini mungkin tidak melihatnya sebagai masalah, membuatkan rawatan terhadap masalah tersebut adalah mencabar. Tetapi, rawatan rapi boleh membantu mereka yang menghadapi masalah ini memahami bagaimana kepercayaan dan sikap mereka dapat mengubah kehidupan mereka supaya lebih dinikmati dan lebih selamat.

Apakah tanda-tandanya?

Mendapat dan menyimpan terlalu banyak barang, mula menyimpannya sehingga menimbun, dan sukar membuang barang tersebut selalunya tanda pertama seseorang itu mengalami masalah menimbunkan barang. Keadaan ini sering berlaku ketika remaja sehingga masa awal dewasa.



Ketika seseorang itu bertambah dewasa, selalunya dia akan mula memperoleh barang sehingga tiada lagi ruang untuk menyimpan. Ketika di pertengahan umur, tanda-tanda akan menjadi lebih teruk dan mungkin lebih sukar untuk dirawat.

Masalah ini akan bertambah mengikut masa dan boleh menjadi sikap peribadi. Ketika orang lain mula menyedarinya, masalah ini telah menjadi serius.

Selain itu, tanda-tandanya ialah:

- Mengumpul barang terlalu banyak yang tidak diperlukan sehingga tiada ruang untuk menyimpan.
- Sukar membuang atau berpisah dengan barang anda, tidak kira bernilai atau tidak.
- Merasakan ada keperluan untuk menyimpan barang tersebut, dan menjadi kecewa kerana memikirkan perlu membuangnya.
- Menimbunkan barang sehingga ke tahap bilik tidak dapat digunakan lagi.
- Sering menangguh, mempunyai masalah dengan merancang dan menyusun, dan tidak tegas terhadap sesuatu.


Teruk ke jika ada masalah ini?

- Barang menimbun dan tidak tersusun seperti surat khabar, pakaian, kertas kerja, buku atau barang sentimental.
- Ruang dipenuhi dengan barang dan membuatkan ruang tersebut tidak boleh digunakan untuk tujuan sepatutnya, seperti tidak dapat masak di dapur atau menggunakan tandas untuk mandi.
- Makanan atau sampah yang bertimbun menyebabkan tahap kebersihan yang teruk.
- Orang lain tidak berasa selamat di dalam rumah.
- Menimbulkan konflik dengan orang lain yang ingin membersihkan rumah.

Kenapa orang suka simpan banyak barang?

- Mereka percaya barang tersebut unik atau akan digunakan nanti.
- Barang tersebut mempunyai kenangan manis atau mewakili orang tersayang atau haiwan kesayangan.
- Mereka berasa lebih selamat apabila dikelilingi dengan barang yang disimpan.
- Mereka tidak ingin membuang apa-apa.

Masalah menimbunkan barang ini berbeza dengan mengumpul untuk koleksi seperti model kereta dan setem. Orang yang mempunyai koleksi akan menyusun dan menjaga koleksi mereka. Walaupun koleksi tersebut adalah besar, selalunya ia tidak akan berselerak dan tidak menyebabkan orang lain tertekan.

Menjaga terlalu banyak binatang peliharaan sehingga terabai kebersihannya juga perlu diberikan perhatian kerana akan mendedahkan haiwan dan orang kepada keadaan yang tidak selamat dan kotor.



Menyimpan makanan dalam peti sehingga berkulat juga adalah contoh orang yang mengalami masalah ini.

Cuba periksa keadaan sekeliling kita, ada tak masalah ini? Jika ada, mulakan dengan mengasingkan barang-barang anda mengikut keperluan sehinggalah anda hanya menyimpan barang-barang yang digunakan setiap hari. Barang yang masih elok tetapi anda sudah tidak menggunakannya, letak di tong yang disediakan untuk didermakan.

Bersederhana itu lebih baik :)
Dikuasakan oleh Blogger.