Header Ads

Semua akan merasai mati, dan Kami uji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan


Apa yang jadi baru-baru ini sangat membuka mata kita semua tentang kejadian yang berlaku di Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, dimana seramai 25 nyawa terkorban termasuk guru mereka.

Ramai yang meluahkan pendapat masing-masing tentang isu yang terjadi. Namun soal kematian memang tak dapat kita menolaknya. Dimana, bila atau siapa itu bukan tugas kita untuk memperkatakannya. Apa yang kita mampu lakukan adalah berdoa dan lakukan yang terbaik agar apa yang berlaku ini dapat membuka mata kita semua untuk menjadi insan yang baik.

Jadi harini, admin bawakan satu perkongsian yang baik dari Ahmad Zafran bin Shahrul Azhar tentang isu yang terjadi dengan tajuk

[ BINTANG – BINTANG SYURGA ]


 Minggu ini kita digemparkan dengan satu kisah, saya kira amat menyedihkan buat seluruh rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam juga sebagai saudara se-Islam kita. Suatu kisah tragedi kebakaran di awal pagi , tanpa kita sedari. Tatkala kita semua sedang tidur lena dibuai mimpi yang indah,keesokkan subuh harinya kita dimaklumkan,bahawa sebilangan pelajar dari Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah telah meninggal dunia akibat dijilat api.

Mafhumnya, Allah berfirman di dalam Surah al-Hadid; ayat 21:
_“Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.”

2) Kita sedia maklum, di bumi Kota Kuala Lumpur ini jarang kedengaran berita tentang keberadaan Pondok Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di tengah-tengah bandar ini. Justeru, kita rasa amat bersyukur dengan kewujudan pondok tahfiz ini, maka tersebar luaslah dakwah Al-Quran kepada anak-anak kecil di sekitar Kuala Lumpur ini. Kisah yang amat menyedihkan, apabila hampir sebahagian daripada pelajar tahfiz tersebut tidak dapat menyelamatkan diri mereka dan mereka gugur syahid di dalam pondok tahfiz yang mereka belajar itu.

3) Pada hakikatnya,setiap orang Islam itu akan menempuh jalan untuk bertemu dengan Allah. Maka tugas kita, adalah menjalankan tanggungjawab yang telah Allah perintahkan. Disinilah tahfiz menjalankan peranannya, dimana mereka memulakan kehidupan mereka sebagai penghafal Al-Quran. Apa yang dapat kita pelajari disini, secara umumnya mereka anak-anak kecil yang menjadikan seluruh kehidupan mereka bersama dengan Al-Quran tanpa memikirkan soal masa depan berbentuk materialistik bahkan menumpukan urusan akhirat sahaja.

4) Di saat diri kita berjauhan dengan Al-Quran, namun si anak kecil ini memilih untuk terus bersama dengan Al-Quran, walaupun usia seperti mereka ada yang memilih untuk ke jalan maksiat. Mereka tidak sempat lagi mengenal dosa, masih tidak sempat lagi mengenal keseronokkan seks, bahkan mereka juga terlalu kecil untuk mengenal dunia dibandar KL ini. Hanya dada mereka sahaja, yang terbuka dan ingin menerima kebenaran Al-Quran tanpa pedulikan sahabat yang tidak bersama mereka di Pondok Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah. Jiwa mereka adanya kebenaran yang telah diperoleh, maka dipegang seerat-eratnya untuk menyempurnakan hafalan 30 Juzuk.

Allah berfirman dalam Surah Al-Imran; ayat 114. Maksudnya:

_“Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh.”_

5) Bukanlah suatu perkara yang mudah untuk menghafal Al-Quran. Amat jauh sekali di tengah bandar ini, adanya kesedaran untuk hidup dengan Al-Quran. Langkah berjalan menuju Allah adalah satu-satunya cara untuk mendapatkan pengetahuan yang benar. Rasa amat bersyukur, kerana roh mereka diletakkan dalam jihad ilmu mendalami Al-Quran. Ya Allah, bersihnya hati mereka ini sepanjang kehidupannya.

Beruzlah anak Syuhada' Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dikalangan ummat Islam, yang di tengah-tengah bandar ini dipenuhi dengan arak, bersepahan dengan zina. Yang pokoknya, adalah bergaul dan hidup bersama dengan ahli Quran seperti anak syuhada' ini akan menimbulkan kecintaan kita kepada Allah dan Nabi Muhammad S.A.W.

6) Anak Syuhada, mempunyai malam yang panjang dihabiskan dengan berbicara bersama Al-Quran, bahkan disaat tengah malam kita sendiri enak tidur di rumah, namun bagi anak ini bersegera mencari bekalan sebelum terlambat ketika usia yang sangat muda.

Persabahatan mereka. Teringat Imam Nawawi, pernah tidak berbaring selama 2 tahun kerana menghafal kitab kitab karangan bagi menguasi satu persatu ilmu Allah. Tambahan pula,kesungguhan anak syuhada ini menghafal Quran, Abu Hassan al-‘Attar menyebutkan, Imam Nawawi tidak pernah mensia-siakan waktunya, sama ada pada waktu siang ataupun malamnya.

Beliau sentiasa sibuk dengan ilmu, sehinggakan beliau berjalan sambil mengulang-ulang hafazannya. Beruntunglah kedua ibu bapa anak syuhada ini, kerana anak mereka mengikuti salah satu sifat Ulamak Alim,bernama Imam Nawawi.

7) Anak Syuhada, memberi pahala kepada kedua ibu bapa mereka dengan memelihara maruah ibu bapa (tidak menderhakai) dari melalui jalan maksiat, bahkan dengan memuliakan maqam (kedudukan) yang sangat dituntut dalam Islam.

Inilah penghargaan anak syuhada ini yang telah dididik mereka dengan penuh kasih sayang. Allah mengangkat martabat ibu bapa, kerana kita terlalu berhutang budi dengan mereka bahkan andai kata Allah menganugerahkan kepada anak syuhada ini dengan mampu memberi syafaat kepada kedua ibu bapa mereka. MasyaAllah, untuk apa perlu kita merasa sedih di atas kehilangan mereka ini? Bahkan gembiralah, kerana mereka pergi dengan kemuliaan bukan pergi dalam kehinaan.

8)Disaat mereka melihat api membara sedikit demi sedikit, memakan bangunan dan diri mereka, hadirnya sifat kesabaran dalam erti kata (menahan diri) yang nilainya terlalu tinggi dan tidak semua orang perolehi nikmat tersebut.

Segala cita-cita dan maksud tidak akan terlaksana dan tidak akan tercapai di dunia ini, melainkan dengan sabar. Siapa yang sabar akan menang (kisah ini membuktikan nikmat Syurga mereka perolehi), sebaliknya kalau siapa yang tidak sanggup menahan kesabaran tidak akan berhasil sesuatupun.

Anak Syuhada bagaikan ;

‘’Peladang tidak akan menuai hasil sekiranya tidak sabar. Petani tidak akan memetik hasil titk peluhnya tanpa sabar, pelajar tidak akan berjaya kalau tidak bersabar, perjuangan tidak akan berjaya tanpa sabar.”

9) Mengenali hakikat hidup dunia ini, saat kematian mereka telah didoakan seluruh rakyat Malaysia, memohon anak syuhada ini diletakkan di dalam Syurga dan dikurniakan Syahid. Cemburu bagi kita mendengar kisah ini, cemburu yang membuatkan kita juga turut bersama mereka di Taman Taman Syurga nanti. Di tengah bumi dibanjiri dengan maksiat, Allah menghantar khabar gembira ada lahirnya darah syuhada dengan membuktikan kebesaran Allah.

Allah berfirman mafhumnya di dalam Surah al-Bayyinah; ayat 7:
_“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk.”_

Allah berfirman di dalam Surah al-Hajj; ayat 77:
_“Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”_

10) Kita dikurniakan lagi dengan satu surat anak syuhada kepada si ibu dan ayahnya, berkaitan inginkan menghadiahkan nikmat syuga kepada orang tuanya. Kita sedia maklum, bahawa membahagiakan orang tua adalah mutlak, sekalipun kedua orang tua adalah orang yang jahat kepada anaknya.

Satu Riwayat Imam Bukhori dari Ibnu Abbas:

‘’ Tidak ada seorang muslim pun yang memiliki dua orang tua yang muslim, yang berbakti kepada keduanya dengan penuh keikhlasan, melainkan akan Allah bukakan baginya dua buah pintu dari syurga, seandainya hanya salah satu orang tuanya maka satu pintu syurga akan dibukakan. Jaika dia membuat salah satu dari mereka marah maka Allah tidak redha kepadanya hingga orang tuanya redha. Lalu ada yang bertanya Bagaimana jika mereka berdua menzaliminya? Nabi berkata sekalipun mereka berdua zalim kepadanya. ‘’

11) Ujian terbesar untuk seseorang anak mendapatkan syurga, adalah saat kedua orang tuanya sudah tua, sudah tidak mampu menghasilkan keduniaan, kerana hal ini disebutkan secara khusus dalam Al-Quran, bahawa ujian terbesar inilah Nabi bersabda:

‘’Celaka besar seseorang yang menemui masa tua orang tuanya, namun mereka berdua tidak mampu membuatnya masuk syurga (dengan bakti kepada mereka).’’ Sunan Tirmidzi no 3890.
Kebakaran? Inilah ujian realiti anak syuhada yang mereka hadapi.

Ujian Pertama : Kesusahan dan Kekurangan
Allah berfirman di dalam Surah al-Baqarah; ayat 155-157:
_“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:_

_(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata:_

_"Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."_

_"Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.”_

Ujian Kedua : Kesenangan dan Kelebihan
Allah berfirman dalam Surah al-Anbiya; ayat 35:

_“Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.”_

Ujian Ketiga :
Ujian dengan Ibadat, Penugasan Ibadat
Allah berfirman di dalam Surah al-Dzariyat; ayat 6:
_“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”_

12) Andai kata saya menggunakan teori aqal saya sekalipun, kekerapan anak syuhada ini yang setiap waktunya hanya membaca Al-Quran, mana mungkin ditimpa ujian yang sangat berat saat bertemu dengan detik kematian dihadapan mata dengan menyebut: Umi .. !! Abi .. !!. Atas dasar itulah sudah pasti mereka menyebut Allah ! Lailaha illallah ! Teringat saya dengan satu Riwayat Abu Dawud dan Ahmad, meriwayatkan dari Mu’adz bin Jabal r.a. bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
‘’ Barangsiapa yang akhir ucapannya di dunia, La ilaha illallah, maka pasti ia masuk Syurga ‘’

13) Oleh sebab itu, para Ulamak mengatakan apabila orang yang akan mati telah mengucapkan kalimat tersebut janganlah diajak berbicara tentang yang lain-lain. Nabi bersabda lagi ;
‘’Janganlah seseorang dari kamu mati melainkan dalam keadaan berbaik sangka kepada Allah S.W.T. ‘
14) Bersyukurlah kedua ibu bapa si anak syuhada ini, kerana anak syuhada ini telah memelihara tangan dan kaki mereka dari ke tempat yang tidak baik seperti bersama dengan orang zalim, tidak bersama dengan orang yang melakukan maksiat bahkan anak syuhada ini membuktikan, mereka sentiasa bersama dengan kitab suci Al-Quran.

15) Allah mendidik kita, agar meyakini setiap apa yang Allah lakukan itu untuk menambah lagi keimanan kita terhadap Qada’ dan QadarNya.Mempercayai bahawa segala sesuatu yang terjadi dan peristiwa ini berlaku, adalah menurut ketentuan dan ketetapan Allah.

Allah berfirman dalam Surah al-Imran; ayat 30 :

_"(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia (dibentangkan kepadanya dalam surat-surat amalnya); dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya. (ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah) ingin kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan amalnya yang jahat itu. Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan (ingatlah juga), Allah Amat belas kasihan kepada hamba-hambaNya._

Satu motivasi yang perlu kita tahu dan hadam dalam hati kita, bahawa sesungguhnya Allah menentukan kebaikan dan keburukan setiap manusia. Tetapi Allah telah menetapkan sesuatu ketentuan ke atas manusia itu dengan adil.

Allah berfirman di dalam Surah al-Imran; 18 :

_“Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”_

Beruntunglah kedua ibu pada dan anak syuhada itu tadi, kerana satu hadis daripada Imam Muslim meriwayatkan,daripada Abi Umamah al-Bahili r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda bacalah Al-Quran kerana pada hari Kiamat kelak ia akan datang memberi syaafaat kepada si pembaca ‘’.

16) Saya sendiri cemburu , kerana sehingga hari ini saya tidak pasti lagi apakah jenis saham akhirat yang saya ada, sedangkan keluarga mangsa kebakaran sudah menempah syurga yang diidamkan semua orang.

Beruntunglah anak syuhada ini, mendapat doa daripada seluruh umat Islam di Malaysia, sudah berlalu 3 hari masih ada lagi yang melaksankan bacaan Yassin dan doa khusus kepada mereka. Satu khabar gembira.! Inilah yang dinamakan SUATU KEMATIAN YANG MENGHIDUPKAN.

"Semoga mereka bahagia di sana"
Artikel ini disumbang Oleh :
Ahmad Zafran bin Shahrul Azhar

Terbitan :
Kelab Al-Azhar Members

Rujukan :
1) Sa’id Hawwa. Pendidikan Spiritual. Cetakan November 2006. Penerbit Mitra Pustaka.
2) Syaikh Al’Allamah Al-Muhaddith Al-Faqih Abdul Fattah Abu Ghuddah Al-Halabi Al-Suri. Nilai Masa Disisi Ulama’. Cetakan Kedua Februari 2017. Penerbit Pustaka Jawanik Al-Kalim.
3) Jabatan Mufti Negeri Sembilan Darul Khusus. Memelihara Maruah Ibu Bapa Jangan Derhaka. Cetakan Kedua Februari 2015. Terbitan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.
4) Tuan Guru Dato’ Hj Ismail Kamus. Keindahan Sabar. Cetakan Pertama 1991. Terbitan Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri Kuala Lumpur.
5) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Ayat-Ayat Suruhan. Cetakan ketiga 2015. Terbitan JAKIM.
6) Ustaz Ahmaad Noor Ridha. Syurga di Telapak Tangan Ayah. Maahad An-Noer, Janda Baik, Pahang.
7) Tuan Guru Prof Madya Dr Musa Fathullah Harun. Manusia dan Makhluk Ghaib di Sekelilingnya. Cetakan Pertama 2008.
8)Tuan Guru Prof Madya Dr Musa Fathullah Harun. Perjalanan Rabbani Merentasi Alam Dunia, Barzakh dan Akhirat. Cetakan Pertama 2006. Terbitan Taushia.
9) Syeikh Abdul Al-Kholari bin Abdul Mutalib. Penawar Bagi Hati. Kitab Thurath Jawi lama.
10) Tuan Guru Prof Dato’ Dr Haron Din. Manusia dan Islam. Cetakan Ketujuh 2015. Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
11) Jabatan Mufti Negeri Sembilan Darul Khusus. Al-Tariq. Hebat Al Quran. Ustaz Norakhyairee bin Mohd Raus


Dikuasakan oleh Blogger.