Header Ads

" Saya sudah penat dengan abang dan saya tidak mahu hidup dengan abang lagi!"


Tidak beberapa lama dahulu, ada seorang wanita yang bergelar isteri telah merasakan kasih sayang daripada suaminya semakin hari semakin berkurang. Manis nya cinta mereka berdua ini sudah tidak seperti dahulu semasa baru berkahwin.

Si isteri telah merangka satu rancangan untuk mengetahui adakah suaminya masih sayangkan dia atau tidak.

Si isteri telah menulis satu surat, dan didalam surat itu dia menulis " Saya sudah penat dengan abang dan saya tidak mahu hidup dengan abang lagi!".

Dia tahu bahawa tindakan beliau ini adalah tidak baik, tetapi kerana sifat ingin tahunya terhadap suami, dia teruskan juga dengan rancangannya.

Selepas dia siap menulis surat itu, dia letakkan di atas meja kamar tidur mereka. Kemudian si isteri menyorok di bawah katil dan menunggu si suami balik. Si dia berharap sangat suaminya akan berasa sedih. kerana itu membuktikan bahawa suaminya masih cintakan dia.


Tidak lama selepas itu, si suami pulang dari kerja. Si suami memberi salam tetapi tiada jawapan. Suami terus ke bilik tidur kerana dia menyangkakan mungkin isterinya tertidur.

Si suami melihat ada sepucuk surat di atas meja, beliau mengambilnya dan membaca dengan tenang.

Suasana sepi dan tenang. Si suami menarik nafas panjang dan menghembus, seolah-olah berasa lega. Si suami mengambil sebatang pen dan menulis sesuatu pada belakang sampul surat itu, kemudian dia meletakkan kembali di atas meja.

Kemudian si suami pergi ke almari untuk menukar pakaian. Reaksi si suami yang bersiul dan seakan-akan gembira itu menjadi satu tanda tanya kepada si isteri yang berada di bawah katil.

Si isteri merasa amat terkejut dan sedih. Betapa sakit hatinya melihat reaksi suaminya yang sudah tidak mencintai dirinya lagi.

Si suami mengambil telefon bimbitnya dan menelefon seseorang. Si isteri hanya mampu untuk pasang telinga dan cuba mendengar perbualan si suami itu.

Si suami berbicara, " Assalamualaikum sayang, abang baru siap tukar baju. Kejap lagi abang sampai jumpa dengan sayang. Si tua tu akhirnya sedar diri juga. Bagus la dia dah tau yang abang dah curang dengan dia. Tak perlu la abang nak "explain" kat dia. Dia pun dah blah sayang. Tunggu abang ye, kejap lagi abang sampai."


Kemudian dia meletakkan telefonnya dan berjalan keluar daripada bilik itu. Selepas beberapa lama, si isteri mendengar si suami telah keluar dan menutup pintu rumah.

Betapa sedihnya diri si isteri mendengar perbualan si suami dan melihat reaksi suami yang tidak menyayangi dirinya lagi. Si isteri keluar daripada bawah katil dan tidak mampu lagi untuk menahan tangisan. Terduduk si isteri di sisi katil mengenangkan perkahwinan mereka.

Si isteri berjalan ke meja, dan mengambil sampul surat, untuk melihat apa yang di tulis oleh suaminya itu. Dengan mata yang kabur kerana air mata, dia membaca :

"Alahai, kenapa lah dengan ayang ni. Dah, jangan nak buat drama lagi, abang nampak kaki ayang terjulur kat hujung katil. Cepat siap, abang tunggu dalam kereta. Kita makan kat luar hari ini. Cepat sikit lapar ni.!"
Dikuasakan oleh Blogger.