Header Ads

Kajian Psikologi Menunjukkan Ada 7 Jenis Pemandu Atas Jalan Raya..Anda Yang Mana?


KAJIAN Eropah terbaru mendedahkan tujuh jenis pemandu atas jalan raya hari ini. Ahli psikologi sosial dari Sekolah Ekonomi dan Sains Politik London (LSE) bersama Goodyear Tires menjalankan satu kajian psikologi sosial mengenai keselamatan jalan raya. Hasilnya, kajian mengenal pasti beberapa cara reaksi manusia apabila berinteraksi dengan pemandu lain di jalan raya.

Menerusi temu bual mendalam dan pengurusan kumpulan fokus ke atas pemandu Eropah, penyelidik mengenal pasti tujuh personaliti berbeza yang sering terserlah apabila seseorang itu di jalan raya. Nampaknya tidak banyak berbeza dengan pemandu di Malaysia bukan?

Mari kita baca dan semak diri.


1. GURU
Pemandu jenis pertama ialah guru yang merasakan dirinya perlu memastikan pemandu lain tahu kesalahan mereka. Pemandu jenis ini juga mengharapkan pengiktirafan atas usaha mereka mengajar pemandu lain. Ibu dan bapa kita adalah antara pemandu yang mempunyai ciri semulajadi seperti ini. Ada saja yang mahu dikritik mereka tentang cara kita memandu. 😉

2. TAHU APA SAJA
Pemandu jenis ini sentiasa memikirkan mereka dikelilingi orang yang kurang bijak dan tidak cekap. Mereka biasanya akan menggembirakan hati dengan menjerit sombong kepada pemandu lain ketika sedang melindungi kenderaan sendiri. Ada saja yang dingomelkan pemandu jenis ini tentang cara pemanduan orang lain.

3. PESAING
Mereka sentiasa merasakan perlu berada di hadapan pemandu lain dan mudah rasa terganggu apabila orang lain memotong atau mendapat laluan. Cara mengenalpasti pemandu jenis ini ialah mereka cenderung memecut apabila seseorang cuba memotong kenderaan mereka atau mengekori rapat (cucuk) kenderaan hadapan bagi mengelak dipintas kenderaan lain dari tepi.


4. 'THE PUNISHER'
Penghukum naik setahap lebih teruk daripada Tahu Apa Saja. Mereka memang suka menghukum pemandu lain atas sebarang perlakuan yang dianggap salah pada pandangan mata mereka. Gelaran lain untuk mereka ialah pembuli jalanan. Mereka tidak hanya bising di dalam kereta, tetapi turut menjerit dan marah kepada pemandu lain. Mereka bila-bila masa boleh menunjukkan isyarat lucah dan berpotensi melakukan serangan fizikal terhadap pemandu lain.

5. AHLI FALSAFAH
Bertentangan dengan The Punisher, Ahli Falsafah lebih tenang. Mereka mudah menerima kesalahan orang lain dan cuba menjelaskan rasional kesalahan tersebut. Mereka pandai mengawal emosi ketika dalam kereta. Misalnya, jika ada kereta memandu laju membuta tuli, mereka cuba mewajarkan tindakan itu dengan mengatakan mungkin pemandu tersebut sedang sakit perut.

6. PENGHINDAR
Pemandu ini pula ialah lawan kepada pemandu jenis Pesaing. Penghindar enggan ambil pusing dengan pemandu tidak senonoh dan menganggap mereka sebagai makhluk berbahaya yang perlu dielak. Pendek kata, mereka malas cari pasal dan enggan berkonfrontasi.

7. PENYELAMAT DIRI
Pemandu jenis ni suka mendengar muzik atau bercakap telefon ketika memandu. Mereka cuba mengalihkan perhatian diri menerusi hubungan sosial tertentu supaya tidak terlibat dengan pemandu lain. Ini juga strategi untuk tidak kecewa atau stres ketika memandu.


sumber: pandulaju
Dikuasakan oleh Blogger.