Header Ads

Air Dicincang Tak Akan Putus, Tetapi Jangan Sampai Jadi Ais Kerana Akan Pecah Apabila Diketuk



Kepentingan hubungan adik beradik

Mempunyai adik-beradik antara anugerah yang sangat bernilai. Ada orang menjadikan saudara seibu sebapa sebagai sahabat, tempat berkongsi kegembiraan dan mencurah masalah.
Tanyalah pada mana-mana anak tunggal, rata-rata memberitahu mereka berasa cemburu melihat rakan yang ada adik-beradik. Meskipun hubungan adik-beradik itu mungkin tidak terlalu rapat, tetapi mereka masih ada tempat mengadu.
Namun hubungan persaudaraan ini jarang dihargai sehingga ada adik-beradik yang berpecah-belah hanya kerana perkara kecil. Inilah sebabnya menjaga perhubungan antara adik-beradik penting untuk mewujudkan suasana harmoni dan ceria dalam keluarga.

Mereka yang ada adik-beradik perlu bersyukur kerana ia secara tidak langsung memupuk akhlak baik dalam diri seseorang sejak kecil apabila diajar untuk saling membantu, bekerjasama, hormat-menghormati, bertolak ansur, berkongsi dan seumpamanya.

Ada banyak perkara yang boleh dilakukan bagi mewujudkan suasana keluarga yang positif dan penuh kasih sayang seperti:




Makan bersama

Waktu makan bersama boleh digunakan sebaik mungkin untuk merapatkan hubungan antara adik-beradik. Ketika inilah kita boleh saling bertukar cerita, pendapat dan kadangkala terselit nasihat berguna.

Kemahiran komunikasi

Punca utama tiada hubungan baik dalam keluarga disebabkan kegagalan ahli keluarga untuk berkomunikasi secara berkesan.

Ketika berkomunikasi kita perlu menyampaikan mesej secara jelas dan tepat. Gunakan bahasa atau perkataan positif dan baik apabila berbicara dengan anak atau sesama ahli keluarga kerana ia memberi kesan mendalam pada sahsiah diri individu yang mendengarnya.

Sertai aktiviti riadah bersama

Lakukan aktiviti riadah seperti berjoging, bermain badminton atau berbasikal bersama ahli keluarga. Ia membuatkan ikatan kekeluargaan lebih kukuh kerana masing-masing cuba menyelami keinginan dan kehendak satu sama lain.



Bercuti bersama

Sesekali rancang percutian bersama satu keluarga kerana secara tidak langsung ia dapat mengeratkan hubungan silaturahim. Tidak perlu ke luar negara cukup sekadar melancong di kawasan peranginan tempatan kerana ia tetap mampu menjadi kenangan manis bersama.

Bertanya khabar

Luangkan masa untuk bertanya khabar adik-beradik dan jangan biarkan kesibukan kerja menjadi dinding pemutus keakraban hubungan adik-beradik.

Jangan juga jadikan kesibukan kerja sebagai alasan kerana kemudahan untuk berhubung kini terlalu banyak. Gunakan medium sosial terkini sama ada Facebook, Twitter, Skype, WhatsApp atau apa saja untuk saling bertanya khabar.

Ambil berat masalah keluarga

Jika ada antara adik-beradik berhadapan masalah, tidak kiralah kita sebagai abang, kakak mahupun adik, perlu mengambil berat terhadap apa yang dilalui mereka. Berbincanglah untuk mencari jalan penyelesaian supaya masalah dapat diatasi. Jika anda diamanahkan untuk menyimpan rahsia, jadilah orang yang boleh dipercayai.


Sentiasa mengingati

Mengingati tarikh lahir adik-beradik boleh membuatkan mereka rasa dihargai walaupun ucapan itu hanya dihantar melalui sistem pesanan ringkas (SMS). Jika ada hadiah lebih baik, namun ia bukan satu kemestian. Hadiah hanyalah tanda ingatan untuk menceriakan sambutan ulang tahun berkenaan.

Sentiasa menghormati

Hormati keputusan mereka. Sekiranya si adik bersedia untuk berumah tangga dengan pilihannya, anda sebagai abang atau kakak yang baik haruslah menerima dengan hati terbuka siapapun si gadis atau jejaka yang berjaya menawan hatinya. Tetapi biarlah bersama individu yang diyakini mampu membimbing serta menjaganya dengan baik bukan sebaliknya.
Dikuasakan oleh Blogger.