Header Ads

Sikap Bos Yang Dibenci Pekerja Tapi Boleh Diatasi Dengan 10 Cara Ini


Menjadi bos yang digemari pekerja, bukanlah suatu yang mudah. Berikut 10 sikap bos yang paling tidak disukai oleh pekerja dan 10 cara menanganinya.


1. Kaki Facebook, Twitter, Instagram, WhatsApp


Ketagihan kepada media sosial di atas ini selalu berlaku dalam organisasi di mana terdapat pengurus yang ramai sehingga pembahagian tugas menjadi kecil. Ini diterjemahkan sebagai pengurus ramai tetapi tugas sikit. Kenapa perlu ramai pengurus, kita merrepak pada sesi lain. Disebabkan tugas sikit, maka banyaklah waktu untuk berlegar di laman sosial. Kecenderungan ini jadi kegilaan kerana fizikal badan ada di meja atau bilik masing-masing tetapi jiwa raga di alam maya. Bila waktu deadline, baharulah terkial-kial hendak menyiapkan tugasan yang tertunggak.

PETUA: Jangan friend  bos dalam laman sosial. Takut sesekali anda tertekan "Check In", bos akan tahu anda tidak berada di tempat kerja. Kalau dia minta friend, luluskan. Lusa anda "unfriend"?.


2. Suka mencarut, bercakap lucah

Berpakaian segak, bertali leher dan kadang kala lengkap dengan sut, bos anda kelihatan tampan dan berkuasa. Tetapi masalahnya hot temper mengalahkan ahli gusti. Pantang sikit marah, mulut terus mencabul dengan perkataan mencarut. F%$# Y&%.

PETUA: Elak dari cetus kemarahan bos. Masalahnya masalah orang lain pun anda juga kena tempias. Belajar teknik ?tuli telinga?. Bila bos mula mencarut, tulikan pendengaran tetapi buat muka lurus. Jangan lawan. Bos adalah durian. Kita durian belanda. Tak sama.

3. Kaki potong OT

Memanglah syarikat amalkan konsep jimat cermat. Jimatlah elektrik, tutup lampu masa makan tengah hari. Guna e-mel, kurangkan kertas cetak. Tapi memotong tuntutan overtime (OT) kakitangan yang bos sendiri kerah bertugas lebih masa, adalah tidak adil sama sekali.

PETUA: Bila bos arah kerja lebih masa, siapkan borang OT dan minta bos tandatangan terus. Kaedah ini bagi mengelakkan bos lupa di hujung bulan atau kemaruk memotong OT.

4. Cuci tangan

Ada kalangan bos-bos kecil ini memiliki tali pinggang hitam dalam seni kung fu mengelak kena marah bos besar. Walaupun kesalahan kakitangan itu telah disemak bos dan patut bos bertanggungjawab bersama-sama, tetapi perkara pertama dibuat ialah menunding jari kepada kakitangan. Kaedah ini amat bertentangan dalam prinsip mengukuhkan ukkuwah dan jati diri dalam organisasi.

PETUA: Sebaik berlaku bencana, bos jenis ini akan meninggalkan kapal. Jadi terserah kepada anda untuk bersiap dengan pelampung atau paling bagus, cari kapal lain untuk belayar.

5. Suka cari kesalahan


Bos yang suka mencari kesalahan kakitangan, kononnya untuk meninggikan mutu kerja mungkin mendapat didikan kepimpinan daripada sekolah tentera Ghengis Khan. Jangan puji, takut nanti kakitangan lupa diri. Tumpukan kepada kesalahan. Senang keji. Peduli apa aspek motivasi dan keyakinan untuk membuat keputusan dalam kalangan kakitangan. Mereka bukan bos.

PETUA: Kakitangan sekalian, jangan contohi bos sebegini bila anda diberi peluang memimpin nanti. Fikirkan apa yang anda rasa sekarang terhadap bos anda yang sebegini. Benci tegar, bukan? Lagi tragis bila bos besar memberi contoh nama anda sebagai contoh bos dibenci sewaktu perhimpunan.

6. Pengawal kesihatan tidak bertauliah


Bila kakitangan sakit, perkara pertama disuarakan ialah "semalam nampak sihat. Tiba-tiba pula sakit hari ini?". Memang tidak salah bertanya tetapi bab sakit dan tidak sihat ini, di luar kawalan. Kakitangan tahu, mereka kena mengemukakan sijil sakit nanti. Apa bos tak pernah jatuh sakit?

PETUA: Cetak artikel kesihatan berkaitan masa kedatangan haid perempuan atau laporan akhbar tentang masalah kesihatan kesan daripada meminum air lombong atau badan jadi gatal disebabkan catuan air. Letak atas meja bos. Harap dia baca.

7. Tidak sensitif


Syarikat menanggung hutang bila melakukan projek tertentu. Akan ada sana sini yang perlu dikurangkan kos dan dikenakan kos. Kawasan meletak kereta kena caj RM30 sebulan terhadap kakitangan. Maka kakitangan meletak kereta di sekeliling pejabat. Laluan jadi sesak. Bangunan parking lapan tingkat jadi gajah putih.

Yang tidak boleh diterima sama sekali bila bos potong kemudahan perubatan hospital swasta. Mana sensitiviti? Bos yakin diri sendiri takkan perlu guna kemudahan hospital tersebut.

PETUA: Buat petisyen bantahan dan kemukakan kepada Lembaga Pengarah syarikat. Tak berkesan, buat sidang akhbar.

8. Egois


Bos daripada golongan ini memiliki sedikit kelebihan berbanding bos lain, sama ada daripada segi pendidikan atau harta atau rupa paras. Ia menjadi melarat bila mereka diberi peranan atau kuasa. Kalau benar-benar bertaraf bos besar tidak mengapa, tetapi baru ketua unit pun sudah mempamerkan ciri-ciri Adolf Hitler, memanglah anak buah semua bertekad menjadi gerila pejabat mensabotaj projek.

PETUA: Tazkirah secara perlahan-lahan menerusi posting di Twitter, Facebook (di mana bos selalu berada) tentang perlunya menurunkan ego supaya tidak dibenci kakitangan.

9. Mementingkan kerjaya diri sendiri


Dalam organisasi yang ramai pengurus, masing-masing diberi beberapa kakitangan sebagai unit. Di sebalik memimpin unit, bos jenis ini lebih suka buat kerja sendiri untuk menonjolkan diri dan menerima pujian bos besar. Bila waktu patut semua pengurus bekerja serentak mengejar deadline, bos jenis ini selamba buat kerja lain. Itu belum kira waktu dia terlelap tanpa mengetahui seluruh warga pejabat mengetawakannya.

PETUA: Bagitau bos besar minta dia ketuai unit tanpa kakitangan supaya tiada yang rasa diabaikan. Kalau bos besar nak dengarlah.

10. Berpuak-puak


Bos jenis ini bercita-cita tinggi dan mahu menjadi CEO dalam tempoh singkat. Bos ini percaya dia perlu mengumpul kroni-kroni dalam pejabat. Mereka yang tidak sebulu dengannya akan disisihkan daripada mengendali projek besar atau tidak disenyawakan. Lazimnya, kakitangan jadi mangsa kerana tidak tahu hendak patuh pada siapa. Penyelia terdekat selalu kena veto Little Napoleon.

PETUA: Buat komplot untuk dedahkan kepada bos besar tentang puak politik pejabat ini. Cara ada macam-macam. Jangan guna surat layang. Sudah tidak berkesan. Guna Facebook.

sumber: utusan malaysia

Dikuasakan oleh Blogger.