Header Ads

Biasa Dengar Talesemia, Kenali Apa Itu Penyakit Talesemia


Talasemia berpunca daripada gen yang mengawal penghasilan hemoglobin telah terjejas. Hemoglobin adalah satu protein di dalam sel darah merah yang berfungsi untuk membawa oksigen ke seluruh tisu-tisu di dalam badan.

Talasemia adalah penyakit genetik atau keturunan. Anak mendapat gen talasemia daripada ibubapa. Ini bukan penyakit berjangkit , iaitu tidak boleh merebak melalui darah, udara dan air atau melalui sentuhan fizikal dan seksual dengan pesakit talasemia. Lelaki dan perempuan mempunyai peluang yang sama untuk mendapat penyakit ini.

Satu daripada dua puluh penduduk Malaysia adalah pembawa gen talasemia. Di Malaysia, terdapat 600,000 hingga 1 juta pembawa talasemia dan lebih kurang 2500 pesakit talasemia major. Kebanyakan pesakit adalah daripada keturunan Melayu, Cina dan kaum Bumiputra Sabah.

Anak mewarisi gen talasemia daripada ibubapa. Contohnya, jika kedua-dua ibubapa adalah pembawa gen talasemia, berkemungkinan setiap kehamilan melahirkan bayi berpenyakit talasemia adalah tinggi. Talasemia hanya boleh dicegah dengan mengenal pasti pembawa gen melalui ujian saringan dan mengelak perkahwinan sesama pembawa-pembawa gen talasemia.

Jenis-jenis Talasemia

Terdapat dua jenis talasemia yang utama iaitu

Pembawa gen talasemia( Talasemia minor)
Pesakit talasemia (Talasemia major)
Pembawa gen talasemia tidak menunjukkan apa-apa tanda atau masalah kesihatan. Pengesanan hanya boleh dibuat mengenai ujian darah talasemia. Seorang pembawa boleh menurunkan gen talasemia kepada anak-anaknya.

Manakala pesakit talasemia major akan menunjukkan tanda-tanda sejak dari umur 3- 18 bulan. Tanda dan gejala termasuk:

Keadaan pucat yang semakin ketara, sentiasa lemah dan resah.
Anemia yang serius boleh menyebabkan kesukaran bernafas.
Jaundis.
Perut buncit disebabkan pembengkakan hati dan limpa.
Tumbesaran terbantut.
Semakin anak membesar terdapat perubahan pembentukan di bahagian muka.
Rawatan untuk Pesakit Talasemia

Pesakit talasemia major perlu mendapatkan rawatan transfusi darah sebanyak 1-2 kali sebulan dalam seumur hidup. Ini akan mengembalikan paras hemoglobin ke tahap yang lebih baik dan tisu-tisu di dalam badan akan mendapat bekalan oksigen yang mencukupi.

Dikuasakan oleh Blogger.