Header Ads

Melangkah ke Alam Perkahwinan, Ini 10 Cabaran Hidup Berdua Selepas Berkahwin


Melangkah ke alam perkahwinan seolah-olah memasuki dunia baru yang sangat banyak bezanya berbanding sewaktu masih bujang. Selain belajar hidup berkongsi dan bertoleransi, apabila sudah berdua apa juga keputusan dan perancangan masa depan mestilah mengambil kira pendapat pasangan kita.

Bagi mereka yang masih bergelar pengantin baru, atau bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi, tip cabaran hidup berdua selepas berkahwin mungkin dapat membantu anda memulakan langkah positif dalam alam rumah tangga.

1. Alam rumah tangga perlu dimulakan dengan niat yang baik dan sentiasa berdoa pada Allah untuk memudahkan perjalanan perkahwinan anda berdua. Langkah pertama hidup berdua ialah merancang masa depan serta sentiasa berusaha untuk menjalankan tanggungjawab sebagai suami atau isteri dengan sebaik-baiknya.

2. Setelah berkahwin, pastinya pasangan ingin memulakan hidup baru mereka di rumah sendiri atau rumah sewa. Oleh itu selepas berkahwin, pasangan hendaklah berpindah dari rumah ahli keluarga untuk memulakan kehidupan baru berdua. Jika masih hidup ditanggung ibu bapa walaupun setelah berkahwin, anda tidak akan merasai nikmat suka duka dan cabaran dalam alam perkahwinan.



3. Apabila sudah tinggal berdua, mudah untuk mengatur dan merancang kehidupan kerana tidak ada orang lain yang akan masuk campur dalam urusan anda. Semua keputusan adalah hak anda berdua. Baik atau buruknya, anda berdua yang akan menanggungnya. Manusia belajar daripada kesilapan diri, jadi jangan takut jika di awal perkahwinan perancangan anda nampak kurang menjadi.

4. Pindah rumah mengikut kemampuan diri. Namun jika ingin menyewa, carilah rumah sewa yang tidak terlalu mahal harganya. Bukan itu sahaja, carilah kawasan yang tidak jauh dari tempat kerja yang boleh memudahkan anda berulang alik dari rumah ke tempat kerja. Jika terpaksa tinggal di kawasan yang agak jauh dari tempat kerja, pastikan lokasi pengangkutan awam tidak jauh dari rumah anda.


5. Jika ada rezeki, boleh juga anda membeli kenderaan seperti motosikal atau kereta terpakai untuk memudahkan perjalanan ke tempat kerja atau ke tempat lain. Jika tidak mampu, memadai dengan menaiki pengangkutan awam.

6. Keperluan dalam rumah dilengkapkan mengikut kepentingan, umpamanya set bilik tidur, keperluan dapur seperti peti sejuk dan pinggan mangkuk serta televisyen sebagai hiburan. Jangan terburu-buru ingin membeli perhiasan rumah yang hanya membazir. Lengkapkan rumah dengan keperluan asas terlebih dahulu.

7. Jangan berhutang jika mahu mengisi keperluan rumah. Buatkan senarai semak apa yang penting untuk kegunaan anda berdua dan belilah menggunakan wang gaji atau wang simpanan dan bukannya kad kredit yang sukar dikawal penggunaannya. Pembelian melalui kad kredit yang tidak dikawal boleh menyukarkan kehidupan pasangan yang baru memulakan kehidupan berumah tangga.

8. Bijaklah mengawal perbelanjaan rumah dan perbelanjaan bulanan anda berdua. Dengan kos hidup yang sangat tinggi pada hari ini, anda dinasihatkan untuk berhemah apabila berbelanja dan hanya berbelanja jika benar-benar memerlukannya.



9. Walaupun anda tinggal berdua, adalah lebih baik anda masak sendiri dan mula belajar memasak, selain menjadi kreatif dalam menyediakan makanan untuk suami atau isteri. Masak sendiri bukan sahaja lebih menjimatkan tetapi juga bersih dan ditanggung halal.

10. Ramai yang baru memulakan alam perkahwinan mengeluh bahawa kehidupan mereka sukar. Ingatlah bahawa dalam hidup ini semuanya bermula daripada kesukaran, bak kata pepatah, “bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian”. Paling penting, usaha dan sentiasalah berdoa pada Allah untuk memurahkan rezeki dan memudahkan perjalanan kehidupan dalam melayari alam rumah tangga anda.

Apabila melangkah ke alam perkahwinan, ia seperti satu realiti kehidupan yang memerlukan anda menggalas pelbagai tanggungjawab serta amanah besar yang Allah berikan pada pasangan suami isteri. Oleh itu, apabila memulakan kehidupan berdua, rancanglah kehidupan di awal perkahwinan dengan bijak.

Jangan terikut-ikut dengan trend dan kehidupan orang lain. Hidup anda tidak sama dengan hidup orang lain. Ada kalanya jika kita tidak mampu, jangan memaksa diri untuk berhutang semata-mata untuk memuaskan hati keluarga ataupun orang lain. Rancanglah kehidupan mengikut kemampuan diri sendiri.
Dikuasakan oleh Blogger.