Header Ads

Kisah Adik Huda dan Hadiah Hari Guru Duit Tabung 70 sen yang Membuatkan Ramai Tersentuh


Baru-baru ini, Hari Guru telah disambut di seluruh Malaysia dan ramai pelajar yang memberikan hadiah kepada guru mereka, termasuklah seorang pelajar yang dikenali sebagai adik Huda, ingin memberikan hadiah kepada gurunya, Jamaliah Amirul. Huda memberikan gurunya hadiah duit tabungnya sebanyak 70 sen. Dia telah mengumpulnya untuk diberikan sebagai hadiah kerana dia tidak mempunyai wang yang banyak. Ini rentetan kisahnya.

Assalamualaikum selamat petang semua yang menanti wajah adik Huda. Yang PM saya supaya saya selfie dengan adik Huda. Hari ini saya kotakan janji saya pada anda semua. Kenalkan inilah adik HUDA BATRISYIA BT SYAHFUL NIZAM.

Kisah hari ini saya ingin sampaikan.

18/05/2017 hari Khamis.

Setibanya saya di sekolah saya tercari-cari Huda. Dalam perhimpunan baru nampak Huda duduk bersama rakan-rakannya. Nampak wajah yang sugul. Selepas perhimpunan, sesi solat Zuhur berjemaah. Selesai solat, saya bisik pada Huda.

"Huda nanti waktu rehat datang jumpa ustazah di kantin." Huda anggukkan kepalanya.

Lepas solat, terus rehat. Saya tertunggu-tunggu Huda. Dia tak datang jumpa saya mungkin dia malu. Saya minta kawannya panggilkan dia. Dia datang pada saya dengan wajah yang tunduk.

"Huda dah makan?" tanya saya.

"Dah makan ustazah, pagi tadi."

"Awak makan apa pagi tadi?"

"Makan roti dengan air."

"Kenyang ke?"

Huda hanya anggukkan kepala.

Saya ajak Huda ke kantin. "Ustazah nak belanja awak, pilih la nak nasi lauk apa."

Mulanya dia segan dan malu-malu. Saya cakap tak apa pilih la nak ayam masak apa.

Perlahan Huda tunjukkan ayam masak merah.

"Huda nak berapa?"

Dia tunjukkan satu jari.

"Nak lauk lain lagi tak?"

Huda gelengkan kepala. "Cukuplah ustazah."

Saya belikan air sekali. Seronok tengok dia makan.

Bila masuk ke kelas, selesai salam dan doa. Saya panggil Huda dan tunjukkan duit syiling dan kertas yg dia tulis ada dalam frame. Pada mulanya dia tersenyum malu. Bila Huda di depan saya, saya ceritakan kisah Huda dalam kelas saya. Tak sangka ada murid lelaki yang bergenang air mata. Murid perempuan ada yang menitis air mata.


Bila saya pandang Huda, merah matanya. Saya peluk dan beritahu yang saya amat terharu dan hargai pemberiannya. Lagilah dia menangis dan pandangannya hanya pada frame itu. Saya bagitahu huda, "Ustazah sangat terharu dan terfikir. Ustazah baru awal tahun 2017 mengajar Huda. Ada ramai lagi guru-guru pagi dan guru-guru petang yang lain untuk kamu berikan hadiah tapi kamu pilih ustazah. Ustazah menangis fikirkan kamu beri ustazah duit syiling dari tabung kamu sendiri."

Huda hanya diam membisu. "Boleh tak ustazah nak ambil gambar dengan Huda? Ramai yang nak tengok wajah Huda." Dia senyum tanda setuju. Alhamdulillah dapat pujuk Huda yang sangat pemalu ambil gambar.



Selepas Huda duduk di tempatnya, datang seorang murid yang bernama Irdina Asyirah datang kepada saya.

"Ustazah, boleh tak saya nak bagi Huda RM5?"
Saya tanya, "Kenapa awak nak bagi pada Huda?"

"Saya sedih dengar ustazah cerita pasal Huda. Huda kan susah. Saya nak bagi Huda duit saya."

Allah. Bersyukur saya dikelilingi anak-anak syurga yang sangat pemurah walaupun kelas saya adalah kelas yang hujung. Untuk mudah faham, kelas yang anak-anaknya kurang minat dengan belajar. Murid yang nakal. Dalam hati, "YA ALLAH KAU BERIKANKU HIKMAH DENGAN BERADA BERSAMA MURID-MURID INI."

Selepas kisah Huda menjadi viral, saya call ibu Huda dan ceritakan yang Huda ada beri hadiah hari guru kepada saya menggunakan duit tabungnya sebanyak 70sen. Ibunya terus menangis. Kata ibunya, "Huda memang ada minta pada saya kalau ada barang-barang yang saya yang dah tak nak lagi."

Ayat huda menyentuh hati saya. Deep sangat.

"Ibu, ibu ada tak barang yang ibu tak nak guna dah? Huda nak bagi hadiah pada ustazah."

Ibunya diamkan diri dengan hati yg sedih. Ibu Huda mohon maaf pada saya sebab tak berikan Huda bawa hadiah. Saya cakap "Eh, puan. Kami guru, bukan hadiah yang kami minta. Cukuplah ada anak-anak murid yang bagus dan hargai kami macam anak puan buat ni."

Ibunya terus menangis kerana tak dapat tunaikan permintaan anaknya. Ibunya kata, "Saya hanya mampu sediakan duit belanja harian anak-anak ke sekolah. Untuk benda-benda sampingan saya tak ada duit, Ustazah."

Allahhu...sebak sy dengar.

Ibunya sambung lagi, "Saya susah hati fikirkan puasa dah dekat. Fikir persiapan raya anak-anak macam mana saya nak sediakan. Suami saya sebelum ni bekerja sendiri ambil upah pasang lampu dan kipas. Pasang aircond. Tapi tahun ni tak ada kerja lagi katanya."

Gaji ibu Huda sebulan RM800 lebih tolak EPF dan cuti. Ada anak 6 orang 5 bersekolah. Umur anak-anak:

1) 14 tahun (L)
2) 11 tahun (L)
3) 10 tahun (Huda)
4) 8 tahun (L)
5) 5 tahun (L)
6) 2 tahun (L)

Inilah serba sedikit info keluarga Huda yang saya tahu. Sebab ada yg pm tanyakan saya detail tentang keluarga Huda. Huda tinggal di TAMAN PANCHOR JAYA SEREMBAN.

Saya tak ada berniat sesuatu apa pun. Di sini sekadar perkongsian kisah saya di hari guru pada tahun 2017 ini. Terima kasih pada yang berhajat menghulukan bantuan. Mak Huda minta saya sampaikan kepada anda. Dia doakan moga Allah panjangkan umur anda dan murahkan rezeki anda. Hanya Allah jualah yang membalas budi anda semua. Mungkin saya hanyalah orang perantara yang diaturkan oleh Allah untuk rezeki Huda dan keluarganya.

Dikuasakan oleh Blogger.