Header Ads

Doktor menemukan sekeping nota yang menyayat hati selepas anak kecil ini dibunuh oleh ibu bapanya


Kisah ini tentang seorang kanak-kanak lelaki berjiwa besar dan ini adalah kisah yang harus dibaca oleh semua.

Kisah ini tentang Ivan, tetapi bukan semata-mata tentang dirinya. Ianya tentang berjuta-juta kanak-kanak lain seperti Ivan, yang hidup dalam mimpi ngeri yang sama di seluruh dunia pada hari ini.

Walaupun kisah Ivan adalah fiksyen, kita tidak boleh mengabaikan isu ini. Kita tidak boleh melupakan Ivan.

Nama saya Ivan dan saya berusia 7 tahun. Saya sayangkan ibu dan ayah saya, tetapi saya berasa takut pada mereka. Mereka sering memukul saya dan saya tidak faham mengapa.

Pagi ini saya bangun dari tidur dan pergi ke sekolah. Saya seorang pelajar yang baik dan guru saya sukakan saya.

Saya menyukai semua rakan sekelas saya juga tetapi saya tidak mempunyai kawan. Sebab itu saya selalu duduk di dalam rumah ketika cuti persekolahan. Tiada sesiapa yang ingin berman dengan saya. Saya cuba untuk berkawan dengan kanak-kanak lain, tetapi mereka tidak ingin berkawan dengan saya dan mengatakan saya jijik.

Mereka mentertawakan saya kerana saya memakai seluar, baju yang lusuh, dan kasut yang koyak setiap hari.

Satu hari selepas sekolah, saya masuk ke dalam bilik kot dan mencuri sepasang jaket yang sudah lama tergantung di situ, tiada sesiapa yang kelihatan seperti kehilangan jaket tersebut. Kemudian, saya pulang ke rumah sendirian dalam ribut salji. Saya sedang menggigil kesejukan dan sukar untuk saya berjalan dalam angin yang kuat. Tiba-tiba, seseorang menolak saya ke hadapan, saya jatuh ke dalam salji. Seseorang menekan muka saya ke dalam salji tersebut. Lalu mereka berkata:

"Tiada siapa sukakan kau. Bodoh!"

Mereka menyepak bahagian belakang dan perut saya, kemudian mereka melarikan diri dan meninggalkan saya dalam kesejukan.

Saya menangis. Bukan kerana saya kesejukan atau cedera, saya menangis kerana saya tiada kawan walaupun saya sukakan semua orang.


Sebaik sahaja tiba di rumah, ibu saya berlari ke arah saya dan menarik rambut saya.

"Ke mana kau pergi? Kenapa basah dan kotor? Anak tak guna, tak ada makan malam. Pergi ke bilik dan duduk di dalam sana."

Saya melakukan seperti yang disuruh oleh ibu saya. Saya masuk ke dalam bilik dan tidak keluar dari bilik sehinggalah keesokan harinya walaupun saya dalam kelaparan dan kesejukan.

Prestasi saya di sekolah semakin teruk, dan setiap kali ayah saya dimaklumkan tentang perkara tersebut, dia akan memukul saya dengan kuat. Setiap kali dia memukul saya dengan kuat, saya tidak dapat menggerakkan jari telunjuk saya. Saya tidak dapat mengembalikan pergerakan jari telunjuk saya dan semua kanak-kanak mentertawakan saya.



Masa berlalu pergi dan pada satu hari, dada saya terlalu sakit.

Ibu dan ayah tidak peduli jika saya sakit. Pada waktu petang, saya baring di atas katil dan saya hanya inginkan satu perkara. Saya berharap saya tidak akan terluka lagi kerana saya tidak ingin membuatkan ibu dan ayah marah. Saya sangat sayangkan mereka.

Keesokan harinya ketika di sekolah, kami diberi tugasan untuk melukis impian terbesar kami. Kanak-kanak lain melukis kereta, roket, dan anak patung yang cantik. Tetapi saya tidak begitu.

Bukan kerana saya tidak menyukainya, tetapi kerana saya sangat berharap untuk seorang ibu dan ayah yang penyayang. Jadi, saya melukis sebuah keluarga. Seorang ibu, seorang ayah, dan anak lelaki mereka. Mereka sedang bermain dan semua orang sedang gembira. Ketika saya sedang melukis, saya menangis. Saya berharap untuk memiliki ibu dan ayah yang menyayangi saya.

Apabila tiba giliran untuk menunjukkan lukisan, mereka mentertawakan saya.

Saya berdiri di hadapan kelas dan menerangkan:

"Impian terbesar saya adalah sebuah keluarga."



Gelak tawa kedengaran semakin kuat. Saya mula menangis dan berkata,

"Tolong jangan ketawakan saya, ini impian terbesar saya! Awak boleh pukul saya, benci saya tetapi saya merayu, jangan ketawakan saya.

Saya inginkan ibu dan ayah seperti kalian, yang memeluk dan ketawa bersama saya, yang menjemput saya selepas sekolah dan gembira melihat saya. Saya tahu saya buruk dan lemah. Saya tahu saya ada jari yang bengkok tetapi tolong jangan ketawakan saya."

Cikgu cuba menenangkan saya. Saya rasa ada yang memahami saya tetapi ramai yang masih ketawa.

Satu hari selepas ujian, keputusannya teruk. Saya tahu ibu pasti sangat kecewa.



Saya takut untuk pulang ke rumah tetapi saya tiada tempat lain untuk dituju. Saya berjalan perlahan pulang ke rumah, tetapi saya tidak ingin sampai ke rumah. Ibu saya sangat marah.

Ibu menarik saya dan mencampak saya ke lantai. Kaki saya terkena kerusi.

Kemudian ibu memukul kepala saya dua kali. Saya hanya terbaring, tidak dapat bangun. Saya sangat sakit. Tetapi ibu hanya meninggalkan saya terbaring di atas lantai.

Ibu menyuruh saya untuk mengemas rumah selepas kejadian tadi, jika tidak, ayah akan memukul saya apabila pulang ke rumah.

Saya merayu kepada ibu untuk tidak memberitahu ayah tetapi apabila saya mengangkat kepala, ayah sudah berada di muka pintu.

Apabila ibu memberitahu ayah tentang ujian tersebut, ayah menarik saya dan memukul wajah saya.

Kemudian, saya tidak ingat apa-apa. Saya sedar saya berada di hospital. Saya melihat tangan saya, saya tidak dapat menyentuh mana-mana jari. Saya memandang ke tingkap dan menangis.

Di luar, saya melihat ibu bapa bermain dengan anak-anak mereka, berpelukan dan bermain bola bersama.



Anda tahu mengapa saya menangis?

Saya tidak tahu bagaimana rasanya pelukan daripada seorang ibu. Ibu bapa saya memukul saya tetapi saya sayangkan mereka. Saya sering melakukan yang terbaik, berkelakuan baik di sekolah, tetapi mereka tetap tidak menyukai saya.

Satu hari, saya tidak sengaja menumpahkan air teh dan mereka memukul saya lagi.

Tiba-tiba, dada saya sakit lagi. Saya memberitahu ibu tetapi ibu tidak mempedulikannya. Kemudian, saya ke hospital lagi dan tiada siapa yang menziarahi saya.

Doktor berkata ibu dan ayah mungkin akan datang esok tetapi mereka tidak datang. Saya tunggu dan tunggu, tetapi tiada siapa yang datang. Saya tetap sayangkan ibu dan ayah.

Dua hari kemudian, Ivan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya. Doktor menemukan surat pada tangannya yang tidak ditulis dengan jelas.

"Wahai ibu dan ayah, saya teruk kerana saya buruk, menjijikkan dan bodoh. Saya minta maaf kerana ibu dan ayah tidak dapat menyayangi saya.

Saya tak pernah nak buat ibu dan ayah marah. Saya hanya inginkan pelukan daripada ibu dan dengar ibu ucap ibu sayangkan saya. Ayah, saya hanya ingin bermain dengan ayah, pegang tangan saya ketika berjalan, atau menyanyi untuk saya.

Saya tahu saya dah malukan ibu dan ayah. Saya takkan malukan ibu dan ayah lagi."

Kisah ini ditulis dalam bahasa Rusia. Tidak pasti jika ini adalah kisah benar ataupun tidak, tetapi kisah ini sangat penting.

Semua kanak-kanak berhak disayangi. Namun, kekejaman terhadap kanak-kanak tetap berlaku setiap saat, setiap minit, setiap jam, dan setiap hari. Di semua negara, di semua bandar, dan di semua sekolah.

Kanak-kanak perlukan kasih sayang, bebas daripada keganasan dan memerlukan tempat yang selamat. Satu pelukan kadangkala lebih bernilai dari yang anda sangkakan.

Dikuasakan oleh Blogger.