Header Ads

Empat tahun berjuang dengan gangguan mental, ini yang dilakukannya untuk meneruskan kehidupan


Saya dan Mental Disorder.

Saya mulakan penulisan ini dengan nama Tuhan yang Maha Kuasa. Dengan nama Tuhan yang menciptakan sakit, dan yang berkuasa menyembuhkan. Semoga setelah penulisan ini sampai kepada kalian yang membaca, ada jiwa-jiwa yang akan terubat, ada hubungan retak yang dapat dibaik pulih kembali, ada hati-hati yang akan lebih belas dan kasihan, ada lisan yang berfikir sebelum melontarkan kata dan kesimpulan, ada nyawa yang akan selamat, ada peluang kedua untuk sebuah kehidupan.

Seperti kebanyakan pesakit yang gemar menggunakan bahasa inggeris dalam penulisan mereka, begitu juga saya. Mungkin kerana banyak sumber saintifik yang menerangkan tentang masalah mental ini adalah dalam bahasa inggeris, jadi susah kita nak bercerita dalam bahasa melayu. Tapi setelah saya mengambil kira siapa audience, maka saya gagahkan diri menulis dalam bahasa melayu supaya ia dapat sampai dengan jelas kepada semua. Saya akan bahagikan penulisan saya kepada beberapa bahagian supaya ia teratur.

1. SIMPTOM DEPRESI 

Empat tahun sudah semua ini terjadi, sejak tahun pertama saya menyambung pelajaran dalam ijazah sarjana muda ini. Dua tahun pertama, di Malaysia, saya mula mengalami simptom depresi. Tapi saya tiada apa-apa ilmu tentang Mental Disorder waktu itu. Antara simptom utama yang saya hadapi adalah kurang daya fokus, kerap menangis dan emosi tidak stabil. Kadang-kadang tengah malam saya berjalan sendirian ke arah semak sambil tersedu-sedan, berdiri di tengah-tengah jalan, menangis sehingga berjam-jam. Kalau saya naik motor pula saya pecut selaju yang mungkin, mengharapkan kematian. Perkara biasa. Namun sebagai budak yang ikut usrah, saya selalu percaya ini adalah masalah spiritual. Masalah iman tak kuat, kata orang kita. Lagipun simptom itu tidak terlalu teruk pada waktu itu, dan saya memang sedang fasa tidak stabil kerana masalah keluarga, jadi mungkin ia berkait juga dengan masalah spiritual.

Dua tahun berikutnya adalah fasa saya belajar di Jordan. Tahun pertama di sini, simptom depresi saya semakin teruk. Suicidal thoughts (fikiran untuk membunuh diri) yang saya alami semakin serius. Bahkan saya pernah menulis di IIUM Confession tentang ini kerana saya tidak tertanggung lagi grief (kesedihan), kegelisahan dan tekanan yang saya alami selama berbulan-bulan tanpa sebab ini.

Di sini saya petik sedikit penulisan saya dari IIUM Confession tahun lepas:

“Macam ada something dalam otak kau ni yang bercas negatif. Kau susah nak sangka baik dgn orang. Tapi aku yakin Allah paling tahu betapa aku cuba get rid semua negativity yang bersarang dalam minda aku ni. Bila depression aku datang, aku boleh nangis dan tidur sepanjang hari. Hantuk kepala sendiri tu biasa. Biasa aku akan jerit "Keluar laaa, apa kau buat dalam kepala akuuu!?". Kawan-kawan aku tak tahu. Sebab aku biasa buat mcm tu waktu sorang-sorang. Pernah aku solat Zuhur tapi aku tak boleh fokus langsung sampai sujud aku tetibe baring pastu aku nangis ketuk-ketuk kepala. Aku tertidur kat tikar sejadah. Dalam dua jam lepas tu baru aku terjaga dan solat Zuhur betul-betul,”

Saya juga jadi fobia dan tak boleh dengar suara lelaki yang kuat atau beramai-ramai (mungkin ini berkait dengan sejarah lama). Saya akan menjadi amuk secara tiba-tiba dan otak saya akan merasa sakit.

Sehinggalah keadaan menjadi semakin teruk, suatu hari saya dapat result exam yang sangat rendah, saya pulang ke rumah memegang botol air plastik. Sampai di rumah saya ambil pisau di dapur dan saya tikam-tikam botol plastik itu sehingga hancur, kemudian saya jerit sekuat hati dan menangis sehingga saya terduduk.

Baik. Cukuplah setakat itu tentang simptom yang saya alami.

2. APA TINDAKAN SAYA? 

Sekarang, mari kita bercakap soal bagaimana saya bangkit, dan embrace (menerima) kehadiran depresi ini dalam hidup saya. Langkah pertama untuk menyelesaikan masalah, adalah mengakui bahawa masalah itu wujud, bukan?

Tahun lepas, saya menjadi AJK Multimedia untuk satu program yang dijalankan oleh sebuah kelab pelajar Malaysia di sini. Takdir Allah, program itu bertemakan isu Psikiatri. Sebagai AJK Multimedia, saya perlu mengkaji lebih dalam tentang tema program, kerana segala design yang akan saya buat nanti perlulah sesuai dengan tema.
Jadi saya pun memulakan pembacaan tentang Psikiatri. Semakin banyak yang saya baca, semakin saya rasa diri saya dekat dengan masalah tersebut. Isu masalah kesihatan mental dan juga usaha-usaha menyedarkan masyarakat tentang kesihatan mental ini rupanya telah lama diperjuangkan di barat. Kebanyakan artikel yang saya baca adalah daripada UK dan US. Mereka memperjuangkan ‘Spread Awareness’, ‘End the Stigma’, ‘Mental Health is as serious as Physical Health,’,’Your Depression is not YOU,’.

Menyedari diri saya mempunyai simptom yang dinyatakan, saya melakukan ujian Mental Health (MR3) di internet. Dan saya mendapat peratusan yang sangat tinggi untuk kemungkinan menghidap depresi dan anxiety. Pada mulanya, saya masih bersikap menafikan. Sehingga simptom menjadi semakin teruk, saya melakukan ujian itu sekali lagi dan peratusannya meningkat sebanyak 20% daripada yang sebelumnya.

Memikirkan perjalanan studies saya yang masih jauh di Jordan ini, dan memikirkan masa depan kehidupan saya, saya akhirnya berkeputusan untuk bertemu doktor psikiatri bagi mendapatkan preskripsi ubat. Kali pertama saya pergi, saya bersendirian. Saya masih takut untuk bercerita tentang hal ini walaupun kepada rakan baik sendiri. Saya bertemu dengan doktor dan menceritakan segalanya.

Akhirnya pada Ogos tahun lepas saya disahkan menghidap Clinical Depression atau Unipolar Depression. Doktor memberikan saya preskripsi ubat yang saya perlu makan setiap hari, diikuti dengan beberapa temu janji susulan. Duit saya banyak berhabis untuk kes ini, tapi saya redha asalkan saya boleh berikhtiar untuk sembuh.

Kesannya positif dengan izin Tuhan, Alhamdulillah perubahannya saya alami sedikit demi sedikit. Kadang-kadang tetap berlaku episod break down juga, tapi sudah tidak seteruk dahulu. Saya mula bercerita kepada rakan terdekat setelah dinasihatkan oleh doktor supaya saya dapat moral support. Alhamdulillah mereka semua selalu berada di sisi saya dan sentiasa menyokong, saya kira ia sangat membantu proses penyembuhan saya.

3. STIGMA DAN KESANNYA KEPADA SAYA.

Walaupun ada yang menyokong, pasti ada juga yang memandang buruk. Inilah yang selalu dihadapi oleh mana-mana penghidap sakit mental. Dianggap mengada-ngada, membuat-buat kesedihan dan emosi untuk menarik perhatian, dianggap perengus dan tidak penyabar, tidak kuat iman, ada masalah akidah, pemalas, dan sebagainya.

Saya sendiri pernah memikirkan bahawa saya ada masalah akidah. Berbulan saya baca Al-Quran dengan harapan jiwa saya akan jadi tenang. Namun tak berhasil. Sehingga akhirnya saya tak mahu baca Quran lagi. Mengapa tak berhasil? Kerana depresi ini adalah masalah kimia atau hormone yang tidak normal di dalam otak, bukannya masalah iman atau hati.

Ya, kehidupan saya banyak terjejas kerana hal ini. Pembelajaran, kerja program. Banyak yang tidak dapat saya lakukan dengan baik dan terpaksa saya berikan kepada rakan lain untuk menyelesaikannya.

Sudah biasa sahaja saya ditanya dengan intonasi yang melukakan hati atau menyindir tentang kenapa saya tidak hadir banyak kali ke kelas, kenapa saya selalu sahaja tidur, kenapa saya suka marah-marah dengan teruk secara tiba-tiba. Sudah biasa sahaja mendengar cerita yang mengatakan kita ini tidak beradab, tidak penyabar. Saya redha.

Manusia boleh bercakap apa yang mereka suka, tanpa mengetahui masalah apa sebenarnya yang kita hadapi pada otak kita yang tidak berfungsi dengan normal. Kita tiada kuasa untuk menghalang manusia membuat spekulasi berdasarkan apa yang mereka lihat. Tapi saya yakin kita boleh memberi didikan atau educate masyarakat kita tentang isu ini. Dan inilah yang sedang diperjuangkan oleh Minda dan Relate Malaysia untuk mengakhiri stigma tentang sakit mental. Dan inilah yang sedang saya sokong, melalui penulisan kerdil saya.

4. PERANAN PESAKIT TERHADAP DIRI SENDIRI DAN PERANAN MASYARAKAT TERHADAP PESAKIT. 

Sedikit yang saya boleh kongsikan. Jika anda mengalami simptom sakit mental, jangan takut untuk bertemu dengan doktor. Jangan merasa rendah diri. Yakinkan diri bahawa ‘You are not your depression’. Ini adalah tips yang saya baca dalam artikel seorang doktor dari UK. Seorang penghidap sakit mental tidak akan mampu sembuh selagi dia belum memisahkan antara dirinya yang sebenar dengan dirinya yang menderita masalah mental. Bila kita telah berjaya memisahkan kedua ‘entiti’ dalam diri kita ini, barulah kita akan merasakan diri kita tidak teruk sebenarnya. Yang teruk itu adalah depresi kita, sakit kita, bukan kita. Sikap positif terhadap diri begini dapat membantu kita untuk sembuh. Selanjutnya dapatkan rawatan. Kuatkan semangat. Anda tidak bersendirian, percayalah.

Saya yakin, rakyat Malaysia bukanlah masyarakat yang buta sains, bukan masyarakat yang tidak jujur terhadap ilmu. Negara kita bukanlah negara yang terkebelakang dalam isu medik. Hanya satu pesanan saya terhadap masyarakat, membacalah dan dapatkanlah kefahaman tentang isu ini. Educate yourself. Banyakkan mendengar apa kata pesakit mental tentang diri mereka, apa yang boleh dilakukan untuk membantu mereka. Ini semua berbeza mengikut pesakit. Jadi jika anda mempunyai orang terdekat yang mempunyai simptom depresi, anda sendiri perlu mengenali depresi mereka dan mengatasinya bersama-sama.

Sedikit idea awal yang saya boleh kongsikan untuk anda faham tentang Mental Disorder:

"It's a disorder. It's not a decision,"
"Mental illness is a flaw in chemistry and hormone, not a character,"
"How come every other organ in your body can get sick and you get sympathy, except your brain?" —Ruby Wax
"You'd never say: 'It's a cancer, just get over it', right?"
"I'm terrified by this dark thing that sleeps in me,"

"That's the stigma. We live in a world where if you break your arm, everyone runs over to sign your cast, but if you tell people you're depressed, everyone runs the other way. That's the stigma. We're so, so accepting of any body part or organs breaking down, other than our brains. And that's ignorance,"

*****************
Saya kira cukuplah sampai di sini sahaja penulisan saya. Kepada semua sahabat-sahabat yang sentiasa berada di sisi saya hingga saat ini, saya tak mampu nak membalas kebaikan kalian. Hanya Allah yang akan membalasnya. Berada di sisi seorang yang mempunyai mental disorder dan bersabar dengan karenahnya adalah antara pengorbanan yang paling mulia bagi saya. Kerana ia tak mudah. Dan semoga dengan saya menggagahkan diri bercerita tentang pengalaman saya ini, akan mengalirkan manfaat yang besar untuk kebaikan manusia lain.

“Semoga setelah penulisan ini sampai kepada kalian yang membaca, ada jiwa-jiwa yang akan terubat, ada hubungan retak yang dapat dibaik pulih kembali, ada hati-hati yang akan lebih belas dan kasihan, ada lisan yang berfikir sebelum melontarkan kata dan kesimpulan, ada nyawa yang akan selamat, ada peluang kedua untuk sebuah kehidupan,”

Saya Nur Jehaada, dan ini kisah saya :)

Persilakan untuk share.

#ImNotAshamed
#TeamNotAshamedMY

Sumber: Nur Jehadaa Ibrahim
Dikuasakan oleh Blogger.