Header Ads

Nenek 82 tahun tersilap menghubungi seorang lelaki 28 tahun, akhirnya bernikah dengan lelaki itu


Ramai yang mengatakan cinta tanpa sempadan, dan kisah yang menyentuh hati bagaimana seorang lelaki berusia 28 tahun di Indonesia jatuh cinta dengan seorang wanita dengan jarak usia 54 tahun melalui telefon dan akhirnya berkahwin dengannya walaupun menerima tentangan daripada keluarga masing-masing.

Kira-kira setahun yang lalu, Sofian Loho Dandel, pekerja gudang dari kepulauan Mantehage di Indonesia, menerima satu panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali. Ketika menjawab panggilan tersebut, dia mengetahui bahawa perempuan di talian tersilap menghubunginya, ketika cuba menghubungi orang lain. Ramai yang akan menamatkan perbualan apabila tersilap panggilan, tetapi tidak buat mereka. Mereka meneruskan perbualan dan saling berkenalan.

Menurut Sofian, mereka teruskan berhubung tanpa Sofian mengetahui usia wanita tersebut. Dia yang tidak pernah bercinta, mengaku telah jatuh cinta.


Beberapa bulan selepas perbualan melalui telefon, Sofian memutuskan bahawa tiba masanya untuk dia berjumpa dengan kekasihnya. Sofian telah pergi ke Kampung Lelema sejauh 120 km, di Minahasa Selatan, untuk berjumpa dengan Martha Potu, wanita yang telah mengubah hidupnya. Sofian yang tidak pernah bertanya tentang umur wanita tersebut, mengaku yang dia terkejut apabila berjumpa dengan nenek berusia 82 tahun.

Sofian tidak pernah menyangka Martha setua itu, tetapi tetap meneruskan hubungan mereka kerana mereka saling mencintai.


Selepas pertemuan tersebut, mereka telah mengikat tali pertunangan dan berjumpa dengan keluarga masing-masing untuk menyampaikan khabar gembira. Sofian telah mengajak ibu bapanya untuk berjumpa dengan bakal isterinya tanpa mendedahkan usianya.

Ibu kepada Sofian, Magdalena, 60, sangat terkejut ketika mengetahuinya dan hanya menerima keputusan Sofian kerana melihat mereka saling mencintai satu sama lain.

Perkahwinan Sofian dan Martha dilangsungkan pada 18 Februari, dan berita tentang perkahwinan luar biasa ini telah tersebar di sosial media Indonesia.

Martha telah kehilangan suaminya sejak 10 tahun yang lalu, dan dia sentiasa berdoa supaya berjumpa dengan lelaki lain untuk meluangkan usia tuanya. Anak-anaknya kini berada di Jerman dan Arab Saudi.

Walaupun jarak usia yang agak besar antara mereka, Sofian percaya bahawa mereka akan tetap bersama selagi masih hidup.

Dikuasakan oleh Blogger.