Header Ads

Kisah guru mengajar di sekolah luar bandar di Kedah menjadi inspirasi sebuah filem yang bakal ditayangkan 9 Mac ini


Guru Cheryl Fernando sukar untuk mempercayai apabila seorang penerbit filem mendekatinya. Tidak pernah terlintas di fikirannya seseorang akan menukarkan kisahnya di Facebook menjadi sebuah filem.

Pada awal tahun lalu, Cheryl yang berusia 31 tahun, didekati oleh penerbit eksekutif Jason Chong. Dia telah membaca bagaimana Cheryl membentuk satu pasukan choral speaking di sebuah sekolah luar bandar di Kedah dan berhasrat ingin membuat sebuah filem berdasarkan pengalaman guru tersebut.

Pada mulanya, Cheryl menyangka bahawa Jason hanya bergurau sehinggalah Jason membuktikan kesungguhannya dengan menyediakan satu jalan cerita. Dia turut membawa bersama-sama dengannya pengarah filem Singapura, Eric Ong dan pelakon wanita Sangeeta Krishnasamy untuk berjumpa dengan Cheryl.

Pada ketika itu, Cheryl merupakan seorang guru di Teach For Malaysia. Dia juga turut menulis di The Malaysian Insider dan sering berkongsi kisah peribadinya tentang perkara yang berlaku di bilik darjah dan kadangkala, tentang pelajar-pelajarnya.

Pada tahun 2013, dia telah menyertai Teach For Malaysia. Organisasi itu menerima graduan baru atau profesional muda tanpa ijazah mengajar atau latar belakang mengajar tetapi mempunyai minat untuk mengajar.

Selepas lapan minggu latihan, Cheryl ditugaskan untuk mengajar di SMK Pinang Tunggal, sebuah sekolah yang terletak di kawasan luar bandar di Sungai Petani, Kedah.


Berasa agak kecewa kerana pelajarnya takut untuk bercakap dalam Bahasa Inggeris, dia telah menggunakan pelbagai cara kreatif untuk menarik minat mereka seperti permainan dan lagu pop yang terkenal. Kemudian, Cheryl dan beberapa orang guru melatih mereka dalam choral speaking.

35 orang pelajar telah menyertai pertandingan choral speaking peringkat daerah buat kali kedua pada tahun 2015, walaupun tidak berjaya memenanginya pada tahun 2013, dan berjaya mendapat tempat kelima antara 25 buah sekolah di daerah Kuala Muda/Yan.

Filem yang berjudul Adiwiraku, yang akan ditayangkan di pawagam Malaysia pada 9 Mac, adalah adaptasi kisah sebenar Cheryl. Filem yang menelan kos sebanyak RM600,000 dibintangi oleh Sangeeta, Xavier Fong, dan pelajar-pelajar dari SMK Pinang Tunggal.


Filem ini berkisar tentang seorang guru yang memimpin anak muridnya sehingga berjaya menduduki tempat kelima dalam pertandingan choral speaking. Ia menggambarkan kesungguhan dan keseronokan para pelajar dan merupakan salah satu filem terawal tentang guru dan murid di Malaysia.

Beberapa kisah dalam filem tersebut diinspirasikan oleh kisah sebenar tetapi ditambah untuk unsur drama dan untuk melindungi identiti para pelajar yang masih bersekolah di situ.

Pihak penerbit turut berjumpa dengan pihak sekolah dan telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pelajaran, ibu bapa, dan para pelajar sebelum memulakan penggambaran.

Sumber: Star2
Dikuasakan oleh Blogger.