Header Ads

Hotel lima bintang untuk kucing yang pertama di dunia dibuka di Malaysia


Suhu bilik yang dikawal, katil bersaiz besar, taman permainan yang diidamkan, dan makanan lazat adalah antara perkara yang boleh dinikmati oleh kucing di Catzonia, hotel lima bintang untuk kucing yang pertama di dunia.

Terletak di Damansara, Catzonia ditubuhkan untuk menawarkan percutian mewah kepada kucing yang manja apabila kucing tersebut memerlukan rehat daripada rutin harian mereka, atau apabila tuan mereka tiada dan tidak dapat memberikan perhatian yang diperlukan. Hotel dengan 35 buah bilik yang mempunyai empat kategori, Catzonia dikendalikan oleh krew pencinta kucing yang berjanji akan bermain dengan para tetamu, mendandan mereka, dan memastikan keselesaan para tetamu sebaik mungkin.


Menurut laman sesawang Catzonia Hotel, mereka percaya bahawa kucing juga memerlukan percutian. Kucing sentiasa ingin dilayan seperti bos. Bermakna, suasana mestilah dirasakan seperti rumah, sentiasa dibelai dan dipeluk, dan paling penting mereka tidak ingin berasa sunyi.

Hotel paling mewah ini menawarkan, bilik VVIC (Very Very Important Cat), dengan tiga katil bersaiz king, satu taman permainan mini, dengan tandas yang berasingan, dan boleh memuatkan sehingga 10 ekor kucing dalam satu masa. Bilik yang lain juga tidaklah buruk, turut dilengkap dengan alat penghawa dingin, kemudahan mandi, katil dengan saiz single, double, ataupun queen, dan turut dilengkapi dengan kemudahan akses internet Wi-Fi. Pakej yang disediakan mempunyai pelbagai servis mendandan, termasuklah "dandanan berubat", yang mana mereka menggunakan syampu istimewa yang dapat membantu menyembuhkan masalah kulit kucing dan membersihkan kucing daripada kutu.


Bilik yang lebih mahal di Catzonia dilengkapi dengan pengawasan CCtv 24 jam, dan pemilik kucing dapat melihat haiwan kesayangan mereka setiap masa melalui aplikasi telefon pintar. Kucing dapat menikmati penginapan antara tiga jam hingga setahun, bermula dengan harga RM25 semalam.

Catzonia bukanlah satu-satunya hotel mewah untuk kucing kerana penubuhan sebegini telah wujud di seluruh dunia, tetapi ianya yang pertama mengiklankan hotel mereka sebagai "hotel lima bintang yang pertama di dunia untuk kucing".

Dikuasakan oleh Blogger.