Header Ads

Crisp, syarikat di Sweden yang beroperasi tanpa CEO. Lihat bagaimana mereka melakukannya!


Adakah syarikat memerlukan seorang pemimpin yang kuat dalam suasana yang tinggi daya saing pada hari ini? Ramai yang akan mengatakan "ya", tetapi para pekerja di sebuah syarikat perundingan perisian mengatakan sebaliknya. Mereka tidak mempunyai seorang ketua. Tiada sesiapa yang memberitahu sesiapa apa yang perlu dilakukan, malah semua pekerja seramai 40 orang mengadakan mesyuarat dan membuat keputusan bersama.

Crisp, syarikat perundingan perisian telah menjadi terkenal di seluruh dunia kerana tidak mempunyai bos. Syarikat ini telah melalui pelbagai struktur organisasi, termasuklah menukarkan ketua pegawai eksekutif mereka setiap tahun, tetapi akhirnya, 40 orang pekerja telah membuat keputusan bahawa sebenarnya tiada keperluan untuk ketua walaupun seorang.

Yassal Sundman, salah seorang staf di Crisp berkata, mereka telah menulis senarai tanggungjawab seorang ketua dan mereka menyedari banyak tanggungjawab seorang ketua sama dengan tanggungjawab mereka. Maka, mereka mencuba eksperimen tanpa bos.

Bagaimanaa mereka menyelesaikan sesuatu perkara dan siapa yang akan bertanggungjawab jika sesuatu perkara buruk berlaku? Nampaknya, tanpa kehadiran seorang ketua, dan semua orang terlibat dalam membuat keputusan, para pekerja menjadi lebih bertanggungjawab dan lebih bermotivasi. Dan walaupun jika seseorang melakukan kesilapan, perkara tersebut bukanlah satu pengakhiran buat mereka. Mereka berpeluang menerangkan sebab mereka dan mungkin akan meyakinkan orang lain bahawa cara mereka adalah cara terbaik pada ketika itu. Orang lain juga mungkin akan berfikir cara yang sama.


Crisp mengadakan mesyuarat selama empat hari untuk semua staf sebanyak dua atau tiga kali setahun, apabila mereka perlu membuat keputusan yang melibatkan semua pihak, seperti pertukaran ibu pejabat. Secara amnya, pekerja di syarikat ini digalakkan untuk membuat keputusan sendiri. Mereka juga mempunyai lembaga syarikat, yang bertindak sebagai pilihan terakhir, jika sesuatu yang buruk terjadi.

Sehingga kini, eksperimen "tanpa CEO" berjalan lancar. Henrik Kniberg, seorang jurulatih organisasi di Crisp, mengatakan bahawa dengan tidak mempunyai ketua untuk meluluskan keputusan projek atau bajet, bermakna sesuatu perkara akan berjalan dengan lebih pantas dan pihak syarikat dapat memberikan respon kepada klien dengan lebih cepat. Para pekerja juga adalah lebih gembira, menurut kaji selidik dengan purata 4.1 daripada 5.


Walau bagaimanapun, Kniberg menegaskan bahawa cara ini tidak menghapuskan tanggungjawab para pekerja dalam berunding dengan rakan sekerja dan menerangkan keputusan mereka.

Crisp berharap kejayaan ini dapat memberikan inspirasi kepada syarikat lain untuk menggunakan "Crisp DNA", tetapi sesetengah CEO percaya bahawa idea ini hanya boleh digunapakai dalam syarikat yang kecil, kerana ia akan menjadi agak kecoh dalam organisasi yang besar.
Dikuasakan oleh Blogger.