Header Ads

'Alan Kurdi Rohingya' Terbukakah Mata Dunia?


Adakah anda masih ingat gambar jasad seorang kanak-kanak pelarian Syria,
Alan Kurdi yang ditemui di pantai berdekatan sebuah resort di Bodrum, Turki, pada 2 September 2015?

Masih ingatkah anda bagaimana perkara itu membuka mata dunia berhubung kesengsaraan yang dialami oleh penduduk Syria?


Baru-baru ini, satu lagi gambar kematian seorang kanak-kanak yang senasib dengan Alan Kurdi mengejutkan dunia.

Gambar seorang kanak-kanak Rohingya berusia 16 bulan, Mohammed Shohayet, tersembam dalam lumpur telah tersebar di media sosial.


                                                                             Gambar yang tersebar di media sosial -Twitter 

Difahamkan, Shohayet dan keluarganya melarikan diri ke Bangladesh bagi mengelak kekejaman anggota keselamatan Myanmar di Rakine.


Namun, kanak-kanak malang itu mati lemas ketika dalam perjalanan bersama ibu, bapa saudara dan abangnya yang berusia tiga tahun.

Menurut media antarabangsa, bot yang dinaiki mereka karam ketika menyeberang Sungai Naf menuju Bangladesh dan mayat Mohammed Shohayet ditemui di tebing sungai pada Rabu lalu.

“Apabila melihat gambar itu, saya berasa seperti mahu mati, tiada gunanya lagi hidup di dunia ini,” kata bapanya, Zafor Alam, kepada CNN.


                                                                                       Gambar yang tersebar di media sosial -Twitter

Sementara itu, gambar viral jenazah bayi berkenaan yang terdampar di tebing sungai mengundang kemarahan para netizen di media sosial.

Rata-rata netizen mengelar Shohayet sebagai 'Alan Kurdi Rohingya’ kerana gambar itu membawa memori kepada kanak-kanak pelarian yang berakhir nyawa di pantai Turki itu.

Malah, ada yang menyoal adakah insiden kedua ini cukup untuk dunia mengambil tindakan atas kekejaman yang berlaku di beberapa negara. 

"Terbukakah mata dunia?," soal netizen. 

Dikuasakan oleh Blogger.