Header Ads

Elakkan Bermain Gajet, 5 Aktiviti Menarik Untuk Anak Anda Di Rumah


Anda boleh mencipta permainan yang menyeronokkan dan mendidik untuk memenuhi masa anak anda, dengan hanya sedikit kreativiti. Malah, ianya percuma!

Ini lima aktiviti menarik dan mudah untuk anak anda supaya dia sentiasa sibuk.

1. Menara Cheerios


Cara paling mudah adalah dengan menggunakan bahan yang ada di dapur.

Anda memerlukan beberapa spaghetti yang tidak dimasak, sedikit Cheerios (atau apa-apa yang berbentuk cincin atau bulat), dan sedikit doh.

Cucukkan spaghetti ke dalam doh supaya spaghetti tersebut kekal tegak, dan minta anak anda untuk memasukkan Cheerios pada spaghetti!

Ini adalah satu cara yang bagus untuk melatih koordinasi mata-tangan dan meningkatkan kemahiran motor halus, yang mana merupakan asas yang penting untuk menulis.

Anda boleh mengubah tahap kesukaran dengan melaraskan panjang spaghetti atau meletakkan had masa untuk membina 'menara'.

2. Memadankan stokin


Kerja rumah yang mudah sangat digalakkan untuk membuatkan minda anak anda terus sibuk di samping dapat mengajar mereka tanggungjawab. Kumpulkan semua stokin dan biarkan anak anda mencari padanannya. Mudah, tidak menggunakan satu sen, dan tidak merunsingkan anda!

Cara ini mengajar mereka warna, tekstur, dan corak. Selain itu, dapat membantu mereka membina keyakinan untuk menyiapkan tugasan.

3. Teropong buatan sendiri


Apabila tisu sudah habis, gunakan kadbod itu untuk dijadikan teropong. Hanya lekatkan dua gulung kadbod bersama, dan hias mengikut kreativiti anda.

Anak-anak akan berasa ingin tahu dan teropong ini menggalakkan mereka meneroka dunia di sekelilingnya. Anda juga boleh membina imaginasi mereka dengan berpura-pura mencari harimau di hutan!

4. Bowling Cawan Kertas


Lebihan cawan kertas yang anda ada oleh digunakan untuk permainan bowling.

Permainan ini bagus untuk membina kemahiran motor kasar mereka, supaya mereka boleh merangkak, memanjat, dan mengimbangi dengan yakin.

5. Aktiviti Timbul atau Tenggelam


Kanak-kanak suka bermain dengan air. Jadi, apa kata ajar mereka sedikit sains pada waktu yang sama?

Anda hanya perlukan sebaldi air dan pelbagai benda yang ada di dalam rumah.

Tanyakan kepada anak anda tentang tenggelam atau timbulnya sesuatu objek itu sebelum menguji objek tersebut di dalam air.

Bincangkan juga saiz dan bahan untuk mengajar mereka kemahiran berfikir secara saintifik seperti meneka, memerhati, membanding, dan menguji.

Cara yang mudah, bukan? Malah, dapat membantu koordinasi mata-tangan serta daya menumpu. Anda juga boleh mengajar mereka tentang alam semulajadi dengan membawanya bersiar-siar dan menunjukkan beberapa objek yang anda lihat.

Sumber: RojakDaily
Dikuasakan oleh Blogger.