Header Ads

Bagaimana Mendidik Hati Untuk Menjadi Lembut Dan Redha?


Nak redha atau sabar atau menerima hakikat dengan hati yang ikhlas, memang bukanlah perkara yang mudah.

Manusia diciptakan dengan hati dan jiwa yang berbolak balik, bersama-samanya juga ialah emosi.
Normalnya, bila manusia terluka dan teruji, rasa marah, geram, bengang, benci, kecewa, sedih akan hadir. Ini perasaan yang tidak dapat dielakkan sebagai manusia biasa.

Namun, Islam mengajak kita mendidik diri, hati dan jiwa untuk mengawal perasaan-perasaan tersebut agar tidak berlebihan. Maka disisipkan kepada kita didikan untuk sabar. Antara cara untuk sabar ialah bersangka baik kepada Allah SWT, meyakini dan percaya bahawasanya Dia tidak akan sesekali menzalimi hambaNya, serta apa yang berlaku dan menimpa kita pasti ada hikmahNya.
Di sinilah kita akan bertemu dengan redha.


Redha bukan bermakna kita tidak marah atau bersedih, tidak geram atau kecewa, tetapi redha ialah kita mampu memujuk hati kita untuk menerima apa yang berlaku, dan berserah kepada Allah SWT. Mungkin sejenak dua ketika ujian atau bencana menimpa kita merungut, menjerit, mengalirkan air mata, tetapi jika jiwa kita merupakan jiwa yang terdidik, pasti kita akan berusaha memujuk hati dan bersegera bersangka baik kepada Allah SWT.

Apabila proses ini berulang dan berulang, insyaAllah sampai ke satu tahap, kita akan mampu sabar dan bersangka baik kepada Allah semenjak 'pukulan pertama' lagi.

Hati ibarat besi yang perlu diproses untuk menjadi sebilah pedang. Bukan sekali dua ketuk, besi terus berubah menjadi senjata. Perlukan proses, dan proses perlukan masa. Demikianlah hati, perlukan proses didikan, pujukan, pencerahan ilmu, kedalaman faham, dan seterusnya pengalaman, dan itu semua perlukan masa. Untuk akhirnya kita mencapai jiwa yang kental, tabah, cekal, mampu untuk redha bukan sahaja di mulut, tetapi seikhlasnya dari lubuk hati terdalam.

Demikianlah apabila jiwa telah terdidik untuk punya hubungan erat dengan Allah SWT, ia akan menjadi lembut sehingga kita rasa sensitif dan peka. Hingga kita mampu mengalirkan air mata mengenang kesilapan dan keingkaran kita.


Antara jalan kelembutan hati sebagaimana pesanan Rasulullah SAW ialah membaca Al-Quran dan mengingati mati. Bukanlah apabila baca Al-Quran atau ingat mati kita akan terus menangis, terus lembut hati. Jiwa perlukan proses dan proses perlukan masa. Maka membaca Al-Quran di sini bermakna mendalami Al-Quran, menghayati makna-maknanya, cuba untuk membayang dan mentadabbur, terutama apabila sampai kepada janji-janji kebaikan Allah dan juga balasan neraka serta azab siksa. Dan demikianlah mengingati mati, bukan sekadar 'ingat', tetapi menghayati, memerhati kematian-kematian yang berlaku di sekeliling kita, memikirkan akan hal-hal seperti 'quality of life' dan membayangkan bagaimana kelak kita akan berdiri di hadapan Allah dengan membawa dosa-dosa kita.

Proses ini, insyaAllah, jika kita biasakan di dalam rutin hidup, hati akan menjadi lembut. Lebih lah lagi bila kita cuba berkomunikasi dengan Allah melalui doa dan ibadah, serta menjauhkan diri dari perkara yang mengeraskan hati seperti hiburan melampau dan maksiat.
Jika titisan air berkali-kali untuk jangka masa yang panjang, mampu melekukkan batu yang jauh lebih keras daripadanya, apatah lagi proses di atas apabila kita laksanakan dengan istiqomah, insyaAllah mampu melembutkan jiwa kita.
Sama-samalah kita bermuhasabah.

Sumber: Hilal Asyraf (Official)
Dikuasakan oleh Blogger.