Header Ads

Lelaki Ini Baru Tahu Rahsia Kejayaan Hidupnya Setelah Ayah Dan Adiknya Meninggal Dunia


Saya pernah membaca sebuah cerita yang dikongsi oleh rakan FB tidak lama dahulu. Cerita yang membuatkan saya sentap dan termenung panjang. Saya kembali bermuhasabah dalam diri. Mungkin penyampaiannya sedikit lain dari cerita asal kerana saya pun sudah ingat ingat lupa. Namun intipatinya sangat melekat dijiwa.

Ceritanya mengenai dua orang pemuda abang dan adik yang tinggal bersama-sama ayah mereka di sebuah kampung. Ayahnya sangat alim dan sekadar membuat kerja kerja kampung dan mendapat undangan berceramah di surau surau berdekatan.

Abangnya yang sulung adalah seorang pelajar dalam akademik yang baik. Selalu skor dalam peperiksaan dan selalu mendapat anugerah dari sekolahnya. Pendek kata, abangnya yang sulung ini adalah harapan keluarganya. Memang benar telahan, abangnya mendapat pekerjaan yang baik selepas belajar. Kemudian berjaya dan kaya raya dalam perniagaannya pula.

Si adik pula sangat bersahaja dan tenang orangnya. Pelajar yang biasa-biasa sahaja. Dan selepas habis belajar mendalami ilmu-ilmu dari setiap pondok. Bertalaqi dan berguru. Hidupnya sangat sederhana. Selesa dengan ilmu dan amalannya. Menjaga ayahnya yang sudah tua. Terkenangkan arwah ibunya dan menitis air mata. Tidak pernah merasa kasih sayang seorang ibu kerana ibunya gugur syahid sewaktu melahirkannya.

Suatu hari ayahnya memanggil anak-anaknya pulang. Sudah uzur benar tingkahnya. Lalu diberikan wasiat kepada setiap orang anaknya. Selesai bercakap dengan abang yang sulung, kini giliran adiknya pula. Panjang juga bicara ayahnya. Adik sekadar mengangguk angguk mendengar ayahnya berperi.

Tiba hari yang dijanjikan tuhan. Ayahnya dijemput mengadap Ilahi. Suasana sedih menyelubungi. Usai majlis pengkebumian maka abangnya bercakap kepada para hadirin berterima kasih dan mengingatkan jika ada terhutang dan terkurang berkenaan arwah boleh datang menuntut darinya.

Setelah semua hadirin pulang, abangnya memulakan perbualan dengan adiknya. Abangnya bertanya tentang apa wasiat arwah si bapa. Adiknya menjawab ayahnya berpesan untuk dia menghabiskan pembelajaran dalam tafsir Al Quran.

Abangnya berkata,

“Kenapa adik memilih untuk hidup begini? Tengoklah aku ini. Aku berjaya di dalam bisnes aku sendiri. Lepas satu datang, datang lagi kejayaan yang lain pula. Setiap apa yang aku usahakan semunya membuahkan hasil”. Katanya dengan bangga.

Adiknya pula menjawab,

“Setiap sesuatu yang terjadi semuanya dari kelulusan Allah Taala. Bersyukurlah dengan apa yang kau miliki abangku”.

Abangnya berlalu pulang membawa hati yang tidak puas dengan penjelasan adiknya. Namun dia tahu, adiknya pasti dibantu jika ada berlaku sebarang masalah. Abangnya menjalankan urusan seperti biasa. Dia adalah usahawan yang berjaya.

Tidak lama selepas kematian ayahnya, tiba tiba abangnya dikejutkan dengan berita kematian adiknya secara tiba tiba. Meninggal di dalam tidurnya. Tinggallah abangnya sebatang kara. Tiada adik beradik, ibu atau ayah tempat mengadu domba dan bermesra. Hanya dia seorang yang tinggal meneruskan keturunannya.

Sedang abangnya berkemas-kemas barang di rumah arwah adiknya, terlihat sebuah buku nota. Lama abangnya membaca setiap bait perkataan yang ditulis oleh arwah adiknya. Antara yang paling menyentuh hatinya adalah ayat ini

Abangku,

Dari asal ketika kita masih kecil, ayah selalu berpesan kepadaku untuk mendoakan kejayaanmu. Lalu, di setiap kali selepas sembahyang akan aku doakan kejayaanmu. Dan telah aku saksikan kejayaanmu di setiap laluanmu. Sungguh aku bangga mempunyai abang sepertimu. Namun, sejak engkau bergelar usahawan yang berjaya kau kurang membuat amalan wajibmu. Kau kurang bersedekah walau rezekimu melimpah ruah. Kau katakan semua rezeki itu adalah hasil usahamu. Benar, namun semua yang berlaku atas ketetapan Yang Maha Esa.

Abangku, ayah membisikkan padaku untuk terus menerus mendoakan kejayaanmu. Mendoakan agar terus menerus engkau dapat membantu ummah yang semakin lemah dilanda cabaran zaman moden ini. Perpecahan dan tamak haloba yang mencarik-carikkan ummat Islam dewasa ini. Abangku, doamu semakin kurang. Makbulnya semakin hilang. Tidak semua yang engkau minta diberikan untuk dirimu. Ia mengandungi rezeki orang lain juga di dalamnya. Bayarlah zakat. Banyakkan beramal dari rezeki yang diperolehi. Senang mahu dikira timbangannya nanti.

Setelah membaca tulisan arwah adiknya kini abangnya faham. Rupa-rupanya dia berjaya di dalam setiap bidang yang dilaluinya bukan kerana usaha dirinya semata-mata. Ia adalah doa dari orang orang disekelilingnya. Sifat sombong dan bongkak sepatutnya tiada dalam kamus hidupnya. Ia adalah hasil usaha mereka yang di sekelilingnya.

Alhamdulillah, kini beliau sudah sukses kerana ilmu niaganya kini sudah boleh diwarisi. Dan kini beliau mendoakan kejayaan orang lain pula.
Dikuasakan oleh Blogger.