Header Ads

Robert No. 1 Terkaya Di Malaysia, Syed Mokhtar No. 6, Mokhzani No. 9….

KUALA LUMPUR – Robert Kuok, hartawan Malaysia yang berpangkalan di Hong Kong, kekal lelaki paling kaya di Malaysia dengan kekayaan RM54.48 bilion berbanding RM46.1 bilion tahun lepas, diikuti ahli perniagaan T Ananda Krishnan dan tokoh perbankan Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow.

Ananda, mengekalkan posisi kedua sejak 2004 dengan aset dimilikinya menerusi Usaha Tegas Sdn Bhd bernilai RM33.19 bilion, peningkatan 0.88 peratus daripada RM32.90 bilion tahun lalu.

Teh, kekal di tempat ketiga sejak tiga tahun lalu, dengan aset bernilai RM18.07 bilion, lapor Malaysian Business, majalah Perniagaan utama dalam terbitan 16 Februari.

Ia melaporkan gabungan kekayaan 40 individu paling kaya itu meningkat kepada

RM217.82 bilion pada 18 Januari 2014 atau 11.73 peratus daripada RM194.86 bilion tahun lalu.

Semasa majalah itu mula menyenaraikan kekayaan 40 individu paling Malaysia  pada 2002, gabungan jumlah aset mereka RM41.7 bilion, dengan Robert Kouk Hock Nien berada di tempat teratas.

Majalah itu berkata tempat keempat dalam senarai itu ialah Tan Sri Quek Leng Chan melalui Hong Leong Group dan Guoco Group, dengan kekayaan bernilai
RM14.11 bilion tahun ini.

Tempat ke-5 ialah Tan Sri Lee Shin Cheng dari IOI Group yang melompat dari  kedudukan keenam tahun lepas, mengatasi Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang
jatuh ke tempat keenam.

Kekayaan Lee tahun ini berjumlah RM13.12 bilion, naik daripada RM10.56  bilion tahun lalu.

Syed Mokhtar berada di tempat keenam walaupun kekayaan beliau meningkat 4.43 peratus kepada RM11.07 bilion daripada RM10.6 bilion pada tahun lalu.

Ketua Genting Group Tan Sri Lim Kok Thay dan ibunya, Puan Sri Lee Kim Hua, mengekalkan kedudukan mereka, masing-masing di tempat ketujuh dan kelapan.

Kekayaan Lim meningkat 16.18 peratus kepada RM9.43 bilion manakala Lee meningkat sebanyak 3.2 peratus kepada RM7.47 bilion.

Datuk Mokhzani Mahathir melalui SapuraKenchana Petroleum berada di tempat kesembilan dengan aset bernilai RM4.22 bilion.

Tokoh perbankan Tan Sri Azman Hashim melalui Arab-Malaysian Corporation menduduki tempat ke-10 dengan aset bernilai RM4.11 bilion tahun ini.

Malaysian Business berkata antara fakta menarik ialah sejak 2002, 81 usahawan menyertai senarai 40 individu terkaya di Malaysia dan 15 berjaya kekal
di atas secara berterusan.

Keseluruhannya, peningkatan kukuh kekayaan mereka boleh dikaitkan dengan sumbangan prestasi pasaran dan harga inflasi, dengan kekayaan mereka
sebahagian besarnya berasaskan kepada pegangan masing-masing.

Ia juga menggambarkan prestasi syarikat-syarikat mereka dan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang positif dalam 12 tahun.

Tahun ini terdapat 33 jutawan dalam senarai harta mencecah angka bilion,  lebih dua daripada tahun lepas dan 29 daripada 40 dalam senarai merekodkan lebih tinggi daripada tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 20 individu mencatatkan pertumbuhan lebih daripada 10 peratus.

Dua individu kembali memasuki senarai tahun ini, Datuk Tony Tiah dari TA Enterprise di tempat ke-38 dengan aset bernilai RM589.14 juta, manakala Tan Sri Rozali Ismail dari Puncak Niaga Holdings memasuki senarai 40 Teratas dengan RM543.74 juta.

Seperti tahun sebelumnya, kekayaan 40 Teratas dinilai berdasarkan nilai pegangan mereka dalam syarikat tersenarai pada 18 Januari 2014.

Malaysian Business majalah perniagaan utama di negara ini diterbitkan oleh Berita Publishing Sdn Bhd

-mynewshub



Dikuasakan oleh Blogger.