Header Ads

Ngeri! Mayat Diseret Tanpa Disedari Sejauh 43KM


Nasib seorang penunggang motosikal. Sudahlah dilanggar, kemudian orang yang bertanggungjawab pula melarikan diri. Maka jadilah kes langgar lari. Namun demikian, lebih menyayat hati apabila mayat mangsa telah diseret tanpa disedari oleh pemandu kereta sejauh 43 KM. Fuh jauh tu.. Memang badan mangsa hancur berkecai. Al-Fatihah untuk mangsa.

IPOH – Cebisan tubuh seorang pekerja kilang yang maut dalam kejadian langgar lari ditemui di Tapah, kira-kira 43 kilometer dari tempat dia dirempuh di Km274.2 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran susur keluar Ipoh Selatan di sini awal pagi ini.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata dalam kejadian kira-kira 2.15 pagi itu, motosikal ditunggangi Ahmad Mahmud, 25, dipercayai dirempuh sebuah kenderaan berat sebelum diheret sejauh itu.

“Rempuhan itu menyebabkan mangsa yang sedang dalam perjalanan dari rumah keluarganya menuju ke tempat kerja di Tanjung Malim tersangkut di bawah kenderaan tersebut dan diheret sehingga Kilometer 317.2 dekat Tapah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahmad dari Kampung Baru Majidi, Serdang di Kedah merupakan pekerja kilang pengeluar kereta Proton di Proton City, Tanjung Malim, katanya.

Wan Sharuddin berkata pemeriksaan di kawasan susur keluar Ipoh Selatan itu menjumpai cebisan daging dan tulang manusia, kasut hitam sebelah kanan dan sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang rosak teruk.

Katanya pada kira-kira 3 pagi, pihaknya menerima maklumat bahawa terdapat cebisan daging yang disyaki badan mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut berhampiran Tapah.

Wan Sharuddin berkata pemeriksaan polis di kawasan berhampiran Tapah pula menjumpai kasut hitam sebelah kiri, cincin, jam tangan dan beg sandang yang mengandungi maklumat peribadi mangsa termasuk lesen memandu dan kad kerja di Proton City.

Beliau berkata anggota Unit Peronda Lebuh Raya sedang menjejaki kenderaan berat yang melalui jalan itu dan menuju ke selatan dalam tempoh kejadian itu berlaku untuk membantu siasatan kes tersebut.

Katanya cebisan tubuh mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk bedah siasat dan telah dituntut oleh keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Majidi, Serdang, Kedah.

Ibu mangsa, Junaidah Baharuddin, 54, ketika ditemui pemberita di pekarangan Rumah Mayat HRPB berkata anak kedua daripada enam beradik itu bersalam dan memeluknya sebelum berlepas pulang kira-kira 11.30 malam.

“Dia ada beritahu makcik, kalau ada kerja lebih masa dia akan kerja raya Tahun Baharu Cina ni, kalau tiada dia kata nak balik kampung…memang biasa, bila nak balik ke sana dia akan bersalam dan memeluk cium saya. Selagi tak buat dia tak mau balik,” katanya dengan sayu. – Bernama
Dikuasakan oleh Blogger.