Header Ads

Kos Kerajaan Basmi Penyalahgunaan Dadah Sama Dengan Bina 216 Buah Sekolah! – PM

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia disaran supaya meluangkan masa berkualiti bersama keluarga, memberi perhatian kepada perasaan dan kehendak anak-anak dan sentiasa berkomunikasi supaya mereka tidak mudah terpengaruh dengan gejala negatif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerjasama semua pihak juga perlu bagi menjadikan komuniti di negara ini selamat daripada ancaman dadah supaya anak-anak dapat membesar dan menjadi generasi yang berdaya saing serta berjaya.

“Kerajaan prihatin dengan masalah dadah yang selalunya berpunca daripada kepincangan institusi keluarga. Oleh itu saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya memastikan keluarga kita mengamalkan kehidupan yang sejahtera.

“Saya percaya situasi ini akan menghindarkan anak-anak atau orang yang anda sayangi daripada terbabit dengan masalah dadah,” katanya dalam perutusan sempena Hari Antidadah 2014 bertemakan ‘AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan) Prihatin, Rakyat Sejahtera’ yang akan disambut, esok.

Najib berkata, setiap ibu bapa dan anggota keluarga perlu prihatin dengan perubahan tingkah laku anak-anak supaya pencegahan awal dapat dilaksanakan kerana penyalahgunaan dadah cenderung untuk berlaku di dalam rumah sendiri.

“Luangkanlah masa yang berkualiti dengan anak-anak, hormatilah perasaan dan pendapat mereka serta didiklah mereka mengenai kesan buruk dadah supaya mereka mendapat maklumat yang betul,” katanya.

Beliau berkata, kehidupan yang tidak bahagia dan tidak selesa di rumah menjadikan kanak-kanak dan remaja terus terdedah dengan masalah penyalahgunaan dadah kerana kepercayaan kepada ibu bapa sangat sedikit berbanding dengan pengaruh rakan sebaya.

Katanya, penyalahgunaan dadah dalam kalangan klien yang mendapatkan rawatan dan pemulihan terutama di Klinik Cure and Care 1Malaysia menunjukkan masalah itu telah bermula seawal umur 10 tahun.

Beliau berkata, kajian ke atas kos ekonomi penyalahgunaan dadah oleh pengkaji dari Universiti Utara Malaysia pada 2009 mendapati sejumlah RM8.65 bilion dibelanjakan oleh kerajaan melalui kos langsung dan tidak langsung.

“Sekiranya kos itu digunakan untuk membina sekolah menengah kebangsaan berkapasiti 1,200 orang pelajar, kerajaan berupaya menyediakan 216 buah sekolah dan sebanyak 259,200 pelajar boleh mendapat faedahnya.

“Pada hemat saya, sekiranya kita berjaya menangani masalah penyalahgunaan dadah secara bersama, sudah pasti kos seperti ini boleh digunakan untuk tujuan lain yang lebih penting dan memberi manfaat kepada semua rakyat,” katanya.

Najib berkata, kerajaan komited dan bertanggungjawab untuk memastikan kesejahteraan rakyat dengan menyediakan perkhidmatan yang lebih prihatin dan mesra serta memenuhi keperluan setiap pelanggan.

Selain Klinik Cure and Care 1Malaysia, beliau berkata, kerajaan juga menyediakan perkhidmatan perubatan, rawatan dan pemulihan dalam komuniti di Cure and Care Service Centre (CCSC) dan Caring Community House (CCH) yang juga pusat aktiviti harian yang menyediakan perkhidmatan bimbingan, khidmat nasihat serta rujukan dan advokasi kepada masyarakat setempat yang mempunyai masalah dadah.

Beliau turut menyeru supaya anggota komuniti menyertai sukarelawan antidadah AADK yang dikenali sebagai SKUAD 1Malaysia untuk memberi bantuan kepada orang atau anggota keluarga mereka yang mempunyai masalah dadah.

“Sehingga kini, skuad itu mendapat keanggotaan berjumlah 223,201 orang di seluruh negara dan 80.5 peratus daripada jumlah itu adalah golongan remaja dan belia yang berusia 15 hingga 39 tahun,” katanya.

Najib berkata, kerajaan mengucapkan tahniah dan menghargai sumbangan yang diberikan kepada semua badan bukan kerajaan, jabatan dan kementerian atas segala usaha membanteras masalah dadah di negara ini. – BERNAMA


Dikuasakan oleh Blogger.