Header Ads

Kejam! Anak Tikam Bapa Perut Terburai


Hanya kerana tidak diberikan wang, seorang anak sanggup menikam bapa kandung menggunakan pisau sehingga perut lelaki itu terburai dan kini bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) dalam kejadian di Kampung Seterpa, di sini, semalam.

Sebelum kejadian, mangsa, Ibrahim Che Mood, 63, bertengkar dengan anak lelakinya berusia 29 tahun di dalam bilik tidurnya sebelum ditikam, jam 6.30 pagi. Suspek dipercayai berang apabila tidak diberikan wang seperti diminta sehingga berlaku pertengkaran sebelum tergamak menikam bapanya sendiri.



Difahamkan, selepas ditikam, mangsa masih mampu berjalan dan dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, dekat sini, oleh ahli keluarganya sebelum koma dan ditempatkan di ICU.

Anak saudara mangsa, Mariani Mohamad, 42, berkata, dia mendengar dua beranak itu bertengkar di dalam bilik dan suasana bertukar senyap secara tiba-tiba sebelum dia membuka pintu bilik untuk melihat apa yang berlaku. Katanya, dia melihat bapa saudara ditikam sebelum memanggil suaminya, Mohamad Abdullah, 45, untuk membantu.

“Saya tinggal di Kuala Lumpur dan bercuti di Kelantan dengan menginap di rumah bapa saudara. Sebelum kejadian, saya baring di ruang tamu dan mendengar bunyi dua beranak itu bertengkar dan tiba-tiba suasana menjadi senyap menyebabkan saya bergegas membuka pintu bilik dan melihat bapa saudara sudah ditikam, manakala anak saudara melarikan diri dengan kereta.

“Saya memanggil suami yang berada di rumah untuk melihat keadaan bapa saudara. Pada masa itu, bapa saudara masih dapat berjalan menuju ke kereta sebelum saya dan suami menghantarnya ke HUSM dan dia kemudian koma,” katanya ketika ditemui di rumah Ibrahim, semalam.

Isteri Ibrahim, Miyoh Chaiyod, 50, berkata, dia berada di Selatan Thailand dan hanya mengetahui suami ditikam selepas dihubungi seorang daripada anak saudaranya.

“Saya tak tahu apa-apa. Saya hanya dimaklumkan suami ditikam anak. “Suami bekerja dengan saya di kedai makan di Selatan Thailand, tetapi dia pulang ke kampung tiga hari lalu untuk berjumpa anak saudaranya,” katanya

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu, namun sehingga petang semalam keluarga mangsa belum membuat laporan polis. “Kami sudah hantar pegawai untuk melihat keadaan mangsa yang kini dirawat di HUSM. Kami akan tunggu laporan polis ahli keluarga mangsa sebelum memulakan siasatan,” katanya.

Sumber: Hmetro

Dikuasakan oleh Blogger.