Header Ads

Kahwin Mat Saleh Dipuji, Kenapa Kahwin Awang Hitam Dikeji? Namun Kami Bahagia Bersama

Kuala Lumpur: “Kenapa orang kita mudah bangga kalau melihat jodoh tempatan dengan orang putih, tetapi memandang serong kepada yang bersuamikan warga Afrika?

“Paling sedih masyarakat kita sentiasa dimomokkan cerita negatif mengaitkan warga asing ini dengan dadah, penipuan dan aktiviti menjual jam, sedangkan tidak semuanya begitu,” luah Presiden Pertubuhan Antarabangsa Malaysia-Afrika (MAYA) Siti Norhazwani Hamzah.

Menurutnya, persepsi rakyat negara ini terhadap warga Afrika seolah-olah sukar diperbaiki hingga tempiasnya meragut kebebasan anak yang lahir hasil perkahwinan campur dengan bangsa berkenaan.

“Sedar atau tidak, negara kita sebenarnya tidak pernah menghalang perkahwinan campur. Ramai orang Malaysia bertemu jodoh dengan orang putih dan menetap di negara asing.

“Malah di sini, ada yang memilih warga Thailand, Melayu tempatan bertemu Indonesia, India tempatan bertemu warga India, Cina di sini berkahwin dengan Cina Singapura dan itu tidak pernah menjadi masalah.

“Justeru, kami (golongan bersuamikan lelaki Afrika) jadi hairan. Kenapa perkahwinan kami dinilai secara negatif oleh kebanyakan pihak,” katanya yang turut bersuamikan lelaki Afrika.

Atas dasar ingin mengubah persepsi itu, Siti Norhazwani nekad mengumpulkan pasangan Malaysia-Afrika menerusi laman Facebook AfroAsian dan mewujudkan persatuan.

“Setakat ini kita mempunyai seramai 531 ahli, terdiri daripada lebih 100 pasangan Malaysia-Afrika yang sudah berkahwin serta masih bujang,” katanya. – myMetro

Kuala Lumpur: “Memang kami kenal menerusi laman sosial dan rapat tidak sampai setahun, tetapi Alhamdulillah kami bahagia dan sudah ada seorang anak pun,” kata Azlina Abdul, 31, yang bersuamikan warga Ghana Haziq Allotey Kpakpo berusia 31 tahun.

Menurutnya, masyarakat tidak harus cenderung melihat keburukan warga Afrika berikutan tidak semua rakyat benua itu yang memasuki Malaysia dengan niat untuk melakukan jenayah atau merosakkan wanita tempatan.

Katanya, golongan itu seperti juga lelaki tempatan yang mempunyai kebaikan dan keburukan yang memerlukan wanita berhati-hati sebelum menyahut cinta seseorang.

“Sebelum ini saya pernah berkahwin dengan orang tempatan, tetapi hubungan kami tidak ke mana. Kemudian saya bertemu suami yang mana kami hanya mahu berkawan dan saya mahu mendalami bahasa Inggeris dengan cara komunikasi dengan orang asing.

“Tetapi sudah ketentuan Ilahi, kami bertemu jodoh dan nekad berkahwin pada 2010. Saya terima dan keluarga juga merestui hubungan kami. “Bukan soal dia bangsa asing saya harus tolak, sebaliknya dia juga seperti lelaki lain yang kita perlu berhati-hati sebelum menyatakan persetujuan untuk meneruskan hubungan ke peringkat yang lebih jauh,” katanya. Azlina berkata, dia membuat keputusan berkahwin dengan Haziq selepas melihat kesungguhannya dan turut mengenali keluarga lelaki berkenaan terutama adik lelakinya yang masih menuntut di Limkokwing University of Creative Technology.

Katanya, sehingga kini meskipun tidak pernah bertemu keluarga lelaki itu di negara kelahirannya, namun mereka saling berhubung menerusi telefon dan Internet. – myMetro

Kuala Lumpur: Orang lain memanggil Awang Hitam yang bunyinya agak kasar dan negatif, tetapi wanita Melayu tempatan yang sudah terpaut hati serta berkongsi hidup dengan mereka, ‘si hitam manis’ menjadi gelaran pilihan.
Selain lebih sedap didengar, ia juga sebagai tanda sayang serta hormat kerana lelaki berkulit hitam dari benua Afrika itu kini suami dan bapa kepada anak mereka.
Segala tohmahan terhadap suami tercinta kini tidak lagi menjadi kudis dan onak yang ditempuh sepanjang perkahwinan termasuk daripada keluarga sendiri, semuanya menjadikan hati lebih cekal.

Bagi Noorin Wirda Ahamad, 33, bekas chef hotel terkemuka di ibu negara, hampir 10 tahun bersama warga Nigeria, Abdul Razak Abdul Salam Salah, 54, tidak kelihatan cela pada lelaki itu yang boleh menyebabkan dia menyesal bersuamikan warga asing.
“Sedikitpun saya tak pernah menyesal memilih dia, apatah lagi dalam tempoh perkahwinan kami, suami banyak memberi tunjuk ajar, mendidik dan kami dikurniakan tiga anak berusia empat, lima dan lapan tahun. – myMetro

Dikuasakan oleh Blogger.