Header Ads

"Jujur, Terus Terang resepi untuk berjaya" - CEO Karangkraf


SEMPENA program Imarah Masjid 2014, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub turut berkongsi pahit maung perjalanan syarikat penerbitan dan percetakan utama negara ini.

Berucap dalam program anjuran Karya Bestari dan Majalah I di Masjid Jamek Ar Rahimiah, Klang, pagi tadi, Hussamuddin menyifatkan, kejujuran antara elemen penting untuk mencapai sesebuah kejayaan.

Ujarnya, konsep berterus terang juga perlu ada dalam setiap urusan supaya urusan yang dilakukan mendapat keberkatan-Nya.

"Orang yang berniaga untuk menjadi sukses jangan menipu, orang Kelantan (contohnya) ramai berniaga dan menjadi sukses sebab jujur.

"Saya juga belajar daripada orang sekeliling, saya tengok orang jual buah, atau budu di Kelantan, kehidupan tak mewah, namun hidup dalam keluarga yang bahagia.

"...kalau pemimpin atau peniaga dia tak tipu, rezeki dia akan terus-menerus," kongsi beliau.

Selain itu katanya, faktor kekuatan, sama ada kekuatan dalaman mahupun ekonomi menjadi keutamaan dalam memastikan apa yang diimpikan dapat direalisasikan.

"Kita perlukan kekuatan ekonomi, dari segi kewangan, kita perlu kekuatan itu.

"Kita perlu untuk memperjuangkan apa yang kita mahukan, seperti Karangkraf saya mahu memberi didikan kepada orang ramai," katanya.

Beliau turut berkongsi cabaran dalam mendepani realiti masyarakat hari ini terutama dalam penerbitan akhbar Sinar Harian.

Walau berhadapan pelbagai desakan dan kritikan, namun ia tidak pernah melemahkan semangat beliau untuk terus memperjuangkan kebenaran tanpa ada berat sebelah kerana ketakutan itu hanya dipaksikan kepada ALLAH.

"Memang kami terima desakan tapi kami ada kekuatan ekonomi yang kuat, kami tak takut, kami hanya takut pada ALLAH," jelasnya.

Untuk rekod, Hussamuddin dianugerahkan The BrandLaureate SME CEO of the Year 2012.

Anugerah berprestij dari Yayasan Penjenamaan Asia Pasifik (APBF) itu diberi kerana kejayaan beliau memimpin syarikat milik penuh Bumiputera sehingga menjadi pemain utama dalam industri penerbitan dan percetakan negara.

Sumber: Sinar Harian
Dikuasakan oleh Blogger.