Header Ads

Gadis 13 Tahun dirogol sekumpulan lelaki


PARIT BUNTAR - Seorang gadis berusia 13 tahun menempuh detik hitam apabila diculik dan dirogol empat lelaki di sebuah rumah kosong di Jalan Abdul Raof, di sini, ketika pergi ke kedai runcit pada 15 Januari lalu.

Ketika kejadian, remaja berkenaan dalam perjalanan ke sebuah kedai runcit yang terletak beberapa meter dari rumahnya.

Kumpulan lelaki itu kemudian meninggalkan mangsa di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, mangsa ditemui rakannya tidak memakai selipar dan pakaiannya berlumpur sebelum dibawa balik ke rumah kakaknya.

“Mangsa pengsan sebaik sahaja tiba di rumah dan keluarganya membawa mangsa ke Hospital Parit Buntar.

“Selepas sedar, remaja itu menceritakan telah dikejar empat lelaki ketika menuju ke sebuah kedai runcit pada kira-kira jam 7.50 malam, hari kejadian.

“Mangsa mendakwa diculik dan dibawa ke sebuah rumah kosong berhampiran premis cuci kereta dan dirogol  kumpulan lelaki terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, di sini.

Mat Fauzi berkata, polis menerima laporan daripada kakak mangsa kira-kira jam 8 malam.

Menurutnya, siasatan polis di tempat kejadian menemui sekeping papan mempunyai kesan darah dan ia dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan.

“Hasil tinjauan polis di lokasi kejadian mendapati kawasan di situ agak semak, sunyi dan gelap. Rumah terdekat terletak pada jarak 20 meter,” katanya.

Mat Fauzi berkata, seorang suspek dikenal pasti dan ditahan membantu siasatan kes itu.

“Suspek berumur 22 tahun ditahan dan merupakan penduduk tempatan,"katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan hukuman sebat.

Sumber: Sinar Harian
Dikuasakan oleh Blogger.