Header Ads

Dapur asrama sekolah jijik!


GEORGETOWN - Sanggup pengusaha dapur asrama sebuah sekolah di sini, menyiapkan makanan untuk pelajar dalam keadaan yang kotor dan menjijikkan.

Perbuatan mereka itu dihidu Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) melalui Ops Bersih Fasa 2, kelmarin.

Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNPP, Ku Nafishah Ku Ariffin berkata, dapur asrama yang terletak di Teluk Kumbar itu sebelum ini sudah diberikan beberapa amaran.

Namun akibat sikap yang masih tidak berubah, akhirnya peniaga yang memegang tender dapur asrama berkenaan diberikan arahan penutupan selama 15 hari.

“Antara kesalahan yang dilakukan termasuk pekerja yang tidak mendapat suntikan kepialu dan tidak memakai penutup kepala.

“Ketika pemeriksaan juga didapati pekerja menggunakan peralatan memasak yang kotor, malah penguat kuasa kami juga menjumpai tikus dan haiwan perosak lain di dalam stor dan juga kawasan dapur,” katanya dalam sidang media di Komtar, semalam.

Beliau turut memaklumkan sehingga kini, dua dapur asrama sudah diarahkan tutup termasuk di Teluk Kumbar.

Menurutnya, JKNPP akan membuat pemeriksaan di semua dapur asrama di seluruh Pulau Pinang dua kali setahun.

“Ini operasi wajib yang mana laporannya akan dihantar kepada ibu pejabat," katanya.

Pihaknya kesal kerana kebanyakan pengusaha makanan memberikan alasan tidak sempat membersihkan premis masing-masing walaupun sudah ditegur.

“Takkanlah memasak setiap hari tetapi bersihkan dapur hanya setahun sekali sahaja, sekurang-kurangnya memasak dua hari tetapi cuci pada hari kedua, itu pun tidak mengapa,” katanya.

Melalui Ops Bersih Fasa 2 itu juga, 36 premis makanan diperiksa dengan 13 daripada diarahkan tutup sementara jumlah kompaun yang dikeluarkan sebanyak RM6,580

sumber: sinar harian
Dikuasakan oleh Blogger.